Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

DJ RIA, Hans Ashrie bertunang dengan pramugari 2 Nov ini

Sah kini. DJ tampan dari Radio RIA 89.7FM, Hans Ashrie, sudah diambil orang dan statusnya kini adalah ‘unavailable’. Lebih tepat lagi, juruhebah berusia 25 tahun itu akan bertunang pada 2 November 2019 ini.

Anggaran Waktu Membaca:
DJ RIA, Hans Ashrie bertunang dengan pramugari 2 Nov ini

Hans Ashrie (kanan) dan Nur Syafiqah Khan (Gambar ihsan: Kyrul Ashrie Hans Daud)

BERITAmediacorp: Sah kini. DJ tampan dari Radio RIA 89.7FM, Hans Ashrie, sudah diambil orang dan statusnya kini adalah ‘unavailable’. Lebih tepat lagi, juruhebah berusia 25 tahun itu akan bertunang pada 2 November 2019 ini.

Jadi, bagi gadis-gadis yang ada menaruh hati kepada Hans Ashrie, pengumuman ini mungkin menjadi satu lampu merah untuk mereka.

Persoalannya sekarang, siapakah wanita misteri yang dalam diam berjaya menambat hati beliau, yang nama penuhnya ialah Kyrul Ashrie Hans Daud?

Jeng, jeng jeng! Hans mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa bakal tunang beliau itu ialah seorang pramugari dengan syarikat penerbangan tempatan, bernama Nur Syafiqah Khan. Bermakna, kedua-dua mereka bekerja di ‘udara’. Satu ke udara di radio, dan satu lagi terbang ke udara di awan biru.

CERITA BAGAIMANA HANS BERTEMU EHEM EHEM…

Pasangan tersebut akan mengikat tali pertunangan selama dua tahun lamanya. Hans yang ditemui BERITAmediacorp baru-baru ini agak malu-malu ketika ditanya mengenai soal pertunangan beliau bersama Syafiqah.

Hans Ashrie dan Nur Syafiqah (Gambar ihsan: Kyrul Ashrie Hans Daud)

Mereka berkenalan melalui Instagram sebenarnya, apabila si dia merupakan salah seorang pengikutnya di laman media sosial tersebut, kata Hans yang kini juga mengendalikan program Misteri Jam 12 di RIA.

“I tengok IG dia, tengok gambar-gambar dia dan ternampak gambar penyanyi Rahila Rashun jadi I tanya Rahila jika kawan dia single. Rahila kata kalau nak tahu, tanyalah dia. Saya ambil masa seminggu untuk chat dengan dia di Instagram sebab saya malu nak mulakan perbualan dengan dia.”

Pasangan tersebut berkawan sejak awal tahun lepas. Menariknya, mereka berjaya merahsiakan perhubungan mereka dari umum. Hanya keluarga dan teman-teman terdekat sahaja yang mengetahuinya kata deejay radio RIA itu.

‘DATING’ 2 ATAU 3 MINGGU SEKALI SAHAJA

Mereka jarang bertemu disebabkan kesibukan masing-masing. Jika ada kesempatan, hanya akan `dating’ sekali dalam masa dua atau tiga minggu sahaja.

DJ Hans Ashrie (Gambar ihsan: Kyrul Ashrie Hans Daud)

DJ Ria897, Hans Ashrie (Gambar-gambar ihsan: Kyrul Ashrie Hans Daud)

Hans turut tersipu malu apabila ditanya apakah panggilan beliau untuk si dia.

“Sayang” jawab Hans perlahan dalam temu bual ini bersama kami.

Untuk “date” mereka yang pertama, Hans memilih untuk membawa Syafiqah makan di East Coast sahaja dengan alasan tidak mahu keluar ke tempat yang “fancy” katanya. Menariknya tentang gadis pilihan Hans ialah beliau tidak begitu minat makan di tempat-tempat mewah.

Kata Hans: “Saya pun tak selalu makan di tempat mewah sebab kita amat simple orangnya dan kita suka makan di kedai-kedai biasa pun ok.”

Rupa-rupanya, tarikan menarik Syafiqah yang dikagumi oleh Hans ialah teman istimewanya itu tidak gemar memiliki “benda-benda mahal sebab dia seseorang yang tidak meminati barangan mewah”.

Nur Syafiqah (Gambar ihsan: Kyrul Ashrie Hans Daud)

Nur Syafiqah (Gambar-gambar ihsan: Kyrul Ashrie Hans Daud)

“Dia terbang ke sana-sini dan boleh membeli handbag mahal di Paris, London tapi dia tak akan beli untuk diri sendiri. Saya tak pernah dengar dia beli handbag mahal untuk diri sendiri. Cuma sekali saja untuk mak dia,” dedahnya.

Jadi, apakah cincin tunang nanti juga bukan yang mahal?

“Beliau memang mempunyai keperibadian yang macam itu, tak boleh nak hargai sesuatu yang mahal. Asalkan benda itu cantik dan boleh dipakai dia ok. Tapi tak adalah saya nak beli cincin yang murah sangat (ketawa),” kata Hans.

SYAFIQAH JELITA, SOPAN SANTUN & JAWAB SOALAN CEPU EMAS HANS!

Keputusan untuk mengikat tali pertunangan dibuat oleh Hans setelah hati mereka terpaut. Lebih meyakinkan lagi apabila Hans turut mengajukan soalan yang sama kepada wanita-wanita yang pernah didekatinya sebelum ini.

“Saya tanyakan padanya apakah pandangan kamu jika selepas kita berkahwin I nak bawa ibu-bapa I tinggal bersama kami? Jika dulu bekas teman wanita saya kata tidak boleh tapi dengan Nur dia tak fikirkan apa-apa. Beliau terus pandang saya dan kata saya harus bawa mak saya duduk dengan kami sebab itu adalah tanggungjawab saya selain dari isteri you. Dia nak saya utamakan mak saya. Itu yang membuat saya kata confirmed, ini adalah pilihan saya!” kongsi Hans secara terus terang kepada BERITAmediacorp.

Hans tidak menafikan beliau turut tertarik dengan kejelitaan pramugari tersebut yang bijak menjaga imej serta bersopan-santun orangnya.

DJ Hans Ashrie (Gambar ihsan: Kyrul Ashrie Hans Daud)

Memandangkan tidak ramai yang mengetahui hubungan cinta mereka berdua, masih ada yang DM (direct message) mereka di Instagram untuk berkenalan. Namun tiada rahsia di antara mereka berdua.

“Saya bersikap terbuka dengan dia kalau ada yang DM saya nak berkenalan dengan saya. Saya akan tunjuk perbualan saya dengan si folan yang DM saya. Dia (Syafiqah) akan kata wanita itu agak cantik ya? Dia pun akan kongsi dengan saya jika ada lelaki yang nak berkenalan dengan dia,” katanya baru-baru ini.

Nur Syafiqah pula bagaimana? Apa yang membuatkan beliau tertarik dan akhirnya menerima Hans?

BERITAmediacorp berjaya mendapatkan respons dari gadis tersebut sehari sebelum beliau kembali terbang di awan biru menjalankan tugasannya sebagai pramugari.

Menurut Syafiqah, beliau pula terpikat dengan karisma dan pesona Hans yang ada “humour, budi-pekerti dan sopan-santun terhadap orang yang lebih tua”.

Nur Syafiqah (Gambar ihsan: Kyrul Ashrie Hans Daud)

Jelasnya lagi, sudah tentu beliau merasa agak gementar apabila diajak keluar oleh Hans buat pertama kalinya. Namun, Syafiqah bersetuju dengan hati yang terbuka kerana ketika itu beliau belum terfikir pun untuk menjalinkan sebarang hubungan cinta kerana ingin memberi tumpuan pada kerjayanya.

HANS MENGAKU KINI RASA GEMENTAR. KENAPA YA?

Apakah Syafiqah pernah terfikir sebelum ini bahawa seorang deejay radio akan menjadi teman hidupnya?

“Langsung tidak pernah terfikir pun,” jawabnya ringkas.

Beliau turut ditanya sama ada sudah bersedia menjalani dugaan dalam pertunangan lebih-lebih lagi kerana mereka sering berjauhan. Ini respons Syafiqah kepada kami:

“Saya percaya memang banyak ujian dalam pertunangan dan pada saya yang sangat penting adalah kesabaran, kepercayaan dan saling memahami. Dengan kesemuanya itu, tiada apa yang akan berlaku,” jawab gadis tersebut dengan cukup matang.

Hans Ashrie dan Nur Syafiqah (Gambar ihsan: Kyrul Ashrie Hans Daud)

Syafiqah juga berharap semoga semuanya dipermudahkan dan agar ikatan pertunangan mereka itu nanti diberkati sehingga mereka selamat bernikah.

Besar kemungkinan, majlis persandingan mereka nanti akan diadakan sempena ulangtahun Hans pula, memandangkan pertunangan mereka dibuat sempena ulang tahun Syafiqah pada November ini.

Sebelum mengakhiri temu bual ini, Hans sempat pula mengatakan bahawa beliau kini mula merasa gementar.

“Semoga dugaan saya diringinkan (ketawa). Kan orang cakap dugaan pertunangan ini banyak. Saya berdoa supaya diringankan dugaan, jangan ada banyak dugaan untuk kita. Itulah seramnya sebab tempoh pertunangan kita dua tahun. Dugaan datang dari pelbagai bentuk,” luahnya tanpa berselindung.

LAPORAN LAIN:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan