Images
  • azwan ali
    Personaliti Malaysia Azwan Ali, atau 'Diva AA' (Gambar: Facebook/Azwan Ali)

Diva AA minta maaf kepada abangnya Azmin Ali

KUALA LUMPUR: Mengambil berkat Syawal, bekas pengacara popular Azwan Ali atau Diva AA mengaku dia ingin merapatkan semula silaturrahim dengan abangnya, Azmin, yang sekian lama menjadi seterunya, lapor Malaysiakini.

Justeru, Azwan tanpa segan silu tampil memohon maaf atas kesalahan yang pernah dilakukan terhadap abangnya yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Mohamed Azmin Ali.

“Di hari baik bulan baik ini kenapa tidak untuk berbaik dengan dia?

"Kalau dia baca artikel ni, saya nak cakap; Min selama ini aku banyak buat salah, buat dosa pada kau. Aku minta maaf, minta ampun pada kau Min,” katanya.

Selebriti berusia 53 tahun itu berkata, hatinya terdetik untuk berbaik semula dengan Azmin selepas ramai peminat mula bertanyakan status hubungan mereka sebagai adik-beradik menjelang Aidilfitri lalu, menurut laporan Malaysiakini.

“Peminat-peminat ada tanya saya: tak nak berbaik ke dengan Azmin sempena hari raya kali ni. Banyak kali juga mereka tanya sampailah sekarang,” katanya menurut sebuah laman berita hari ini.

Hubungan Azwan dengan Azmin diketahui umum tegang beberapa kali menyusuli beberapa serangan peribadi dicetuskan ke atas abangnya itu.

Malaysiakini melaporkan, Azwan yang sudah berhijrah ke London berkata, dia ingin berdamai dengan anggota Parlimen Gombak itu bukan semata-mata kerana sudah menjadi menteri tetapi kerana terkenangkan didikan arwah ibu bapa mereka.

“Saya akui sebelum ini saya begitu keras hati, tapi orang tak tahu apa dilalui kami adik-beradik kerana ia hal peribadi dan keluarga. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.

“Hasrat saya untuk berbaik bukan atas sebab politik, tapi kerelaan saya sendiri.

“Sebab saya fikir, sampai bila nak berakhir begini, walaupun kami berbeza pendapat, ibarat air dicincang takkan putus,” katanya yang bersedia untuk bersemuka sekiranya diberi peluang untuk bermaaf-maafan.

Menurut laporan Malaysiakini, sebelum ini, Azwan mendakwa ada pihak cuba mengajaknya berkomplot untuk menjatuhkan abangnya itu menyusuli kontroversi membabitkan sebuah klip video memaparkan dua lelaki melakukan seks.

Seorang daripada lelaki itu didakwa sebagai Azmin manakala pasangannya yang membuat pengakuan bersumpah terlibat dalam aksi seks itu adalah Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Haziq merupakan setiausaha sulit kanan Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin dan juga ketua pemuda bahagian Santubong.

Azmin bagaimanapun menafikan segala dakwaan dan sebaliknya mendakwa kontroversi itu dilakukan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.  

- Agensi berita/ZM/tq

Top