Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Dituduh curang kali ke-3, Aliff Aziz, Bella Astilah sah bercerai talak 1

Kemelut rumah tangga antara pelakon dan penyanyi Aliff Aziz dan isterinya penyanyi Bella Astilah berakhir hari ini (16 Mei) apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Lumpur hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Dituduh curang kali ke-3, Aliff Aziz, Bella Astilah sah bercerai talak 1

Gambar fail Aliff Aziz di luar mahkamah selepas sah bercerai dengan Bella Astilah (Gambar: Instagram/@diariput, @bellaastilah)

Diterbitkan : 16 May 2019 06:49PM Dikemas Kini : 16 May 2019 07:06PM

KUALA LUMPUR: Kemelut rumah tangga antara pelakon dan penyanyi Aliff Aziz dan isterinya penyanyi Bella Astilah berakhir hari ini (16 Mei) apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Lumpur hari ini.

Aliff Aziz, atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 28 tahun, melafazkan talak tersebut di hadapan Hakim Syarie Izzat Syazli Mushid.

Pelakon kelahiran Singapura itu menangis teresak-esak ketika melafazkan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 manakala Bella Astillah, atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 25 tahun, kelihatan tenang.

Sebelum membenarkan Aliff selaku defendan melafazkan cerai ke atas Bella, Hakim Izzat Syazli bertanya kepada Bella adakah wanita itu mahu meneruskan penceraian selepas memfailkan permohonan cerai pada 21 Mac lepas.

"SEBAB SUAMI CURANG..."

Hakim syarie itu juga bertanya apakah alasan Bella untuk bercerai dan wanita itu menjawab “tidak sefahaman” namun hakim syarie bertanya sebab lain yang lebih kukuh, lalu Bella yang terdiam seketika sambil tersekat-sekat menjawab “sebab suami curang..” sebelum dilihat menangis.

Hakim syarie turut bertanyakan adakah Bella mempunyai bukti dan wanita itu berkata ya, melalui video dan gambar-gambar. Bella juga memberitahu sudah lebih tiga bulan mereka tinggal berasingan.

Selepas melafazkan cerai itu, Aliff turut memberitahu dia bersetuju dengan permintaan Bella untuk membayar nafkah RM1,000 (S$328) sebulan kepada seorang anak lelaki hasil perkahwinan mereka.

Hakim Izzat Syazli kemudian mensabitkan berlaku perceraian dengan talak satu dan memerintahkan plaintif menjalani tempoh edah selama tiga bulan, mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan sijil nikah dibatalkan.

Mahkamah juga merekodkan persetujuan Aliff membayar nafkah anak mereka, Mohamad Ayden Adrean, yang kini berusia dua tahun sebanyak RM1,000 (S$328) yang dimasukkan ke dalam akaun bank Bella bermula bulan ini.

Hakim syarie turut menasihati Aliff dan Bella supaya memberi perhatian dan kasih sayang kepada anak tunggal mereka dengan baik dan tidak memburukkan antara satu sama lain di hadapan anak.

SUDAH MAAFKAN, TAPI...

Sejurus selesai prosiding Aliff dan Bella keluar dari bilik bicara bersama dan dilihat berbincang. Pasangan tersebut bernikah pada 9 Sept 2016 dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia dua tahun.

Ketika ditemui pemberita, Aliff yang memakai kemeja hitam berkata dia menyesal atas perbuatannya sehingga menyebabkan berlakunya penceraian itu dan memohon maaf kepada Bella.

Bella yang memakai jubah hitam pula berkata dia sudah memaafkan Aliff tetapi percaya penceraian itu adalah jalan terbaik untuk mereka dan berharap Aliff akan mengambil iktibar terhadap perbuatannya serta berfikir tentang keluarga sebelum melakukan sesuatu.

Semasa prosiding itu, Aliff tidak diwakili peguam manakala Bella diwakili peguam syarie Nurfarhana Abd Manaf.

KESILAPAN KALI KETIGA

Baru-baru ini beberapa media tempatan melaporkan Aliff sekali lagi dituduh berlaku curang terhadap Bella.

Harian Metro melaporkan kali ini, artis asal Singapura itu dikatakan terlibat dengan seorang gadis yang dikenali sebagai 'Nismel', setelah video Instagram live serta swafoto mereka berdua tular.

Mstar melaporkan, gadis tersebut dipercayai berusia 17 tahun.

Sebelum ini pada Februari, Aliff dilaporkan berlaku curang setelah keluar ke kelab malam bersama seorang pelakon baru, Oktovia Manrose.

Ogos lalu pula, pelakon Afifah Nasir membuat pengakuan awam apabila rakaman CCTV tular menunjukkan beliau dan Aliff berpegangan tangan di sebuah pusat hiburan. 

Sumber : Bernama/Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan