Images
  • shanghai disneyland
    Gambar fail Disneyland Shanghai di China (Gambar: AFP/Chandan Khanna)

Disneyland Shanghai ditutup sementara waktu ekoran penularan virus Wuhan

SHANGHAI: Disneyland Shanghai akan ditutup sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan, menyusuli wabak virus pernafasan Wuhan yang kini menjangkiti lebih 800 orang dan meragut 25 nyawa di China, menurut taman hiburan itu pada Jumaat (24 Jan).

Penutupan itu berlaku sedang China memasuki cuti Tahun Baru Cina selama hampir seminggu, dan rumah Mickey Mouse itu sudahpun menyiapkan perayaan "Tahun Tikus" khusus untuk para tetamu.

Bagaimanapun taman dan resort tersebut mengumumkan di lamannya bahawa ia akan ditutup buat sementara bermula Sabtu "sebagai respons terhadap kepada pencegahan dan pengawalan wabak penyakit dan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan" para pengunjung dan kakitangannya.

"Kami akan terus memantau rapi keadaan dan berhubung rapat dengan pemerintah tempatan, dan kami akan mengumumkan tarikh pembukaan semula selepas ia disahkan," menurut taman itu, sambil menambah bahawa para pengunjung yang sudah membeli tiket atau menempah hotel resort akan dibayar balik.

Disney membuka taman tema bernilai AS$5.5 bilion (S$7.43 bilion) di Shanghai itu pada Jun 2016, iaitu taman hiburan keenamnya seluruh dunia dan yang ketiga di Asia.

HAMPIR 180 PESAKIT DALAM KEADAAN SERIUS

China hari ini (24 Jan) menyekat perjalanan berjuta-juta orang yang berada dekat pusat penularan wabak virus korona, menggantung pengangkutan awam di sekurang-kurangnya 10 bandar raya dalam usaha kuarantin yang dibuat julung-julung kalinya sedang angka korban meningkat kepada 26 orang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengisytiharkan kecemasan global meskipun terdapat banyak kes yang sudah disahkan di banyak negara lain. China bagaimanapun mengambil langkah berani dan meluaskan sekatan yang kini merangkumi sekitar 26 juta orang dan membatalkan beberapa perayaan Tahun Baru Cina untuk mengelakkan penyakit tersebut daripada terus merebak.

Virus yang muncul di bandar Wuhan kini menjangkiti 830 orang, menurut suruhanjaya kesihatan negara itu.

Dalam kalangan kes-kes di China setakat ini, 177 dalam keadaan serius. Pihak berkuasa juga sedang mengkaji 1,072 kes yang disyaki.

China juga mengesahkan kematian kedua akibat virus itu di luar pusat penularan Wuhan. Pihak berkuasa mendedahkan pesakit meninggal dunia di wilayah Heilongjiang, 2,000km timur laut Wuhan.

Virus baru ini mencetuskan rasa cemas kerana kesamaannya dengan SARS (Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk), yang meragut beratus-ratus nyawa di tanah besar China dan Hong Kong pada 2002-2003.

Pihak berkuasa menyatakan kebanyakan mangsa berusia antara 48 hingga 89 tahun dan sudahpun mengalami keadaan kesihatan sedia ada.

- Agensi berita/TQ/tq

Top