Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Disney tangguh sebilangan filem susulan Marvel dan 'Indiana Jones'

Walt Disney Co pada Isnin (18 Okt) menangguhkan tayangan filem-filem susulan keluaran Marvel Studios.

Anggaran Waktu Membaca:
Disney tangguh sebilangan filem susulan Marvel dan 'Indiana Jones'

Gambar fail. (Gambar: REUTERS/Brendan McDermid)

Diterbitkan : 19 Oct 2021 07:49AM Dikemas Kini : 19 Oct 2021 07:51AM

LOS ANGELES: Walt Disney Co pada Isnin (18 Okt) menangguhkan tayangan filem-filem susulan keluaran Marvel Studios, iaitu "Black Panther," "Thor" dan "Doctor Strange", selama beberapa bulan sekali gus menangguhkan juga tayangan filem baru "Indiana Jones" ke 2023.

"Doctor Strange and Multiverse of Madness" pula akan ditayangkan pada 6 Mei 2022 berbanding 25 Mac, menurut Disney dalam satu kemas kini mengenai jadual tayangan filem-filemnya.

Langkah itu memaksa Marvel untuk menangguhkan filem-filem 2022 yang lain.

"Thor: Love and Thunder," yang dijadual dikeluarkan pada 6 Mei, kini akan ditayangkan pada 8 Julai 2022. "Black Panther: Wakanda Forever" akan menemui peminat di pawagam pada 11 November 2022 dan bukan Julai.

Filem kelima dalam siri filem "Indiana Jones" yang dibintangi Harrison Ford dilengahkan sehingga 30 Jun 2023 dan bukan 29 Julai.

Ford, 79 tahun, mengalami kecederaan pada bahagian bahunya pada bulan Jun dan baru-baru ini kembali menjalani penggambaran.

Studio Hollywood sudah beberapa kali menyesuaikan jadual-jadual tayangan filem sepanjang pandemik COVID-19. Para pengendali pawagam bergantung kepada filem-filem pecah panggung atau 'blockbuster' untuk menarik para penonton datang kembali selepas premis-premisnya ditutup bagi tempoh yang panjang.

Antara perubahan lain, termasuk "The Marvels" yang akan ditayangkan pada Februari 2023 dan "Ant Man and the Wasp: Quantumania" pada Julai 2023. 

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan