Images
  • star wars merchandise
    (Gambar: Reuters/Simon Dawson)

Disney lancar cenderahati baru Star Wars jelang The Rise Of Skywalker

LONDON: Barisan pelakon Star Wars berhimpun pada Khamis (26 Sep) untuk melancarkan cenderahati baru syarikat Walt Disney sempena filem dan siri terbitan baru francais tersebut.

Permainan, pakaian dan peranti baru yang dilancarkan itu mula dijual secara rasmi pada 4 Oktober, tarikh yang diwartakan Disney sebagai 'Triple Force Friday', yakni sebahagian usaha pemasarannya sebelum pelancaran filem Star Wars: The Rise of Skywalker pada Disember ini.

Turut dilancarkan adalah cenderahati bagi The Mandalorian dan Star Wars Jedi: Fallen Order. The Mandalorian adalah siri terbitan 'live action' pertama Star Wars yang boleh ditontoni menerusi khidmat penstriman Disney+ pada November, manakala Fallen Order adalah permainan video yang bakal dilancarkan.

Acara pada Khamis yang berlangsung di studio terkenal Pinewood Studios di luar London itu, dipengacarakan oleh pelakon Warwick Davis, yang memulakan kerjayanya sebagai watak ewok dalam filem Star Wars: Return Of the Jedi (ROTJ) pada 1983.

Dalam satu wawancara Davis berkongi bagaimana beliau berasa amat teruja apabila watak yang dimainkannya dalam ROTJ ketika itu diabadikan dalam bentuk mainan.

Naomi Ackie, pelakon baru dalam francais itu yang memainkan watak Jannah, berkata beliau hampir-hampir tidak percaya apabila pertama kali menatap susuk wataknya dalam bentuk mainan.

Cenderahati baru termasuk produk-produk keluaran Hasbro Inc , Funko Inc dan The Lego Group.

Disney, yang membayar AS$4.05 bilion (S$5.6 bilion) kepada Lucasfilm bagi penerbitan Star Wars pada 2012, menganjurkan acara pelancaran cenderahati "Force Friday" pertama pada 2015 menjelang pelancaran filem Star Wars: The Force Awakens.

- Reuters/TQ/tq

Top