Images
  • didi main
    Didicazli dan isteri dikurniakan seorang puteri yang kini berusia dua bulan, bernama Nur Erina Daania. (Gambar-Gambar: Didicazli)

Didicazli kongsi cerita dapat anak pertama menerusi IVF

BERITAmediacorp: “Sebelum saya dapat anak saya, saya sangkakan hati ini dah rasakan kasih sayang yang maksimum. Tak sangka hati kecil ni boleh ada kapasiti untuk sayang lebih-lebih lagi. Bila anak saya dilahirkan, tiba-tiba rasa kasih sayang yang sangat mendalam, sangat luas yang tak pernah saya rasakan seumur hidup saya.”

Itulah pengakuan ikhlas penyanyi serta komposer muda Singapura, Didicazli, ketika ditanya perasaannya setelah bergelar seorang bapa kini. Beliau dan isteri, Nur Eliyana Norzlan, 27 tahun, menanti selama empat tahun lamanya untuk mendapatkan cahaya mata. Mereka dikurniakan seorang puteri yang kini berusia dua bulan, bernama Nur Erina Daania.

Namun tidak ramai yang tahu pelantun lagu Sejujurnya dan isteri sebenarnya berikhtiar untuk mendapatkan zuriat, melalui kaedah IVF atau persenyawaan in vitro.

Meskipun mereka disahkan sihat oleh doktor, namun belum ada rezeki untuk mendapat cahaya mata. Maka itu, mereka membuat keputusan untuk melalui kaedah IVF seperti yang disarankan oleh sahabat komposer itu sendiri.


“Sahabat saya seorang ustaz di masjid. Beliau yang sarankan saya dan isteri cuba untuk menjalani proses IVF sebab beliau pun melaluinya dan berjaya dengan bayi kembar,” terang Didicazli, yang berusia 36 tahun.

Ustaz itu turut menjadi pembimbing kepada segala pertanyaan penyanyi tersebut sehingga bayi pasangan tersebut dilahirkan.

IKHTIAR WALAUPUN SUAMI ISTERI ‘SIHAT’

Mengapakah mereka memilih untuk mencuba kaedah IVF sekiranya mereka tiada sebarang masalah kesihatan?

“Bila kami berdua lalui kesemua pemeriksaan perubatan, secara fizikal kami tidak ada masalah apa-apa. Doktor sarankan kami perlu bercuti (ketawa) dan jangan streskan diri. Saya pun tak sangka tekanan ni boleh buat sistem reproduktif hura-hara,” kongsi Didicazli.

Doktor mengatakan, besar kemungkinan tekanan boleh mengubah hormon dalam badan seseorang. Jika terlampau tertekan dengan kerja juga boleh menyebabkan hormon dalam badan bertukar dan sukar mendapatkan anak. Namun, mereka menyerahkannya pada Allah (swt).


Mereka memulakan konsultasi bersama pakar pada 1 Julai 2017. Isteri Didicazli diberi suntikan selama 14 hari berturut-turut sebagai sebahagian dari rawatan IVF tersebut. Yang menariknya, isterinya Nur Eliyana menyuntik dirinya sendiri di rumah memandangkan beliau adalah seorang jururawat ketika itu.

“Isteri saya tidak berapa sengsara sebab ketika itu dia seorang jururawat. Saya lebih menyayangi isteri dan lebih menghargai setelah lihat apa dia lalui. Dulu seorang jururawat, sekarang tukar jadi guru,” cerita Didicazli lagi kepada BERITAmediacorp.

PASRAH APABILA ISTERI ALAMI PENDARAHAN

Selain berdebar menantikan keberhasilan IVF itu sendiri, Didicazli tidak terkecuali daripada diduga dengan satu “false alarm" ketika memenuhi undangan nyanyian untuk acara Hari Raya pada tahun lepas.

Isterinya menghubunginya untuk khabarkan bahawa beliau berada di hospital disebabkan oleh pendarahan pada malam tersebut. Terangnya:
“Isteri saya katakan dia di A&E Hospital KK, ada pendarahan. Saya rasa hampa dan kata oklah tidak ada rezeki sebab saya tahu ada juga pasangan cuba dua atau tiga kali untuk IVF. Ada yang cuba dua atau tiga kali pun tak dapat. Itu adalah percubaan pertama kali kami.”


Syukur, setelah mendapatkan keputusan imbasan, doktor mengesahkan isterinya tidak mengalami keguguran. Ketika melalui detik cemas tersebut, beliau sudah semestinya merasa sedih.

“Kami sangkakan ia dah tiada, ingatkan tak berjaya,” katanya.

Mereka memilih untuk merahsiakan dulu kaedah IVF yang dilalui itu sebelum bayi mereka dilahirkan atas sebab yang kukuh memandangkan proses IVF ini berisiko tinggi.

“Peratusan ia berhasil hanyalah 50-50 peratus atau kurang dari itu. Saya pernah dengar ada yang dah tujuh bulan pun keguguran. Setelah kandungan dah masuk ke trimester ketiga, baru boleh tenang,” ujar penyanyi yang berkahwin pada Februari 2014 itu.

LAYAK TERIMA SUBSIDI PEMERINTAH, TAPI TAK RAMAI TAHU

Didicazli turut berkongsi bahawa tidak ramai pasangan di sini yang mengetahui bahawa pasangan Singapura, seperti mereka, layak menerima subsidi dari pemerintah untuk IVF.

“Pada dasarnya orang sangkakan harganya boleh mencecah S$20,000, tapi pemerintah beri subsidi, baru naikkan subsidi pada 2018. Lagi S$6,000 boleh gunakan Medisave,” beliau memberi penjelasan.


Memandangkan puteri mereka sihat, apakah mereka mempunyai rancangan untuk cuba mendapatkan cahaya mata kedua pula, tanya kami pada Didicazli?

Jawab beliau ceria: “Kami mengharapkan agar tak perlu lagi proses IVF untuk anak kedua sebab kesiankan isteri sakit kan. Insya Allah kami akan ikhtiarlah mungkin dalam dua tahun agar anak saya dapat adik.”

Didicazli tidak menolak kemungkinan bahawa beliau mungkin akan menghasilkan sebuah lagu khas untuk puteri mereka pada masa akan datang yang bertemakan kasih-sayang. Kita nantikan sahaja!

- BERITAmediacorp/ai

Top