Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Dayang Nurfaizah hidupkan semula lagu Melayu klasik dalam album Belagu

Masih ingatkah anda pada alunan lagu Tudung Periuk nyanyian asal seniman agung, Allahyarham P Ramlee dan biduanita, Allahyarhamha Saloma dalam filem 'Sumpah Orang Minyak'?

Anggaran Waktu Membaca:
Dayang Nurfaizah hidupkan semula lagu Melayu klasik dalam album Belagu

(Gambar: Dayang Nurfaizah)

Diterbitkan : 17 Jan 2021 07:30PM Dikemas Kini : 17 Jan 2021 07:34PM

KUALA LUMPUR: Masih ingatkah anda pada alunan lagu Tudung Periuk nyanyian asal seniman agung, Allahyarham P Ramlee dan biduanita, Allahyarhamha Saloma dalam filem 'Sumpah Orang Minyak'? Pernahkah terbuai dengan keindahan lirik lagu Tak Seindah Wajah yang penuh kiasan dendangan Allahyarham S M Salim?

Atau mungkin melalui situasi berendam air mata selepas kehilangan insan tersayang seperti yang diterjemahkan dalam lirik untaian syahdu, Kenang Daku Dalam Doamu. Semua melodi klasik itu kembali segar apabila diberi nafas baru oleh penyanyi Dayang Nurfaizah menerusi buah tangan terbaru berjudul Belagu.

Dayang mengajak peminatnya meneroka kembali keindahan melodi dan bahasa yang menghiasi lagu Melayu lama yang menjadi peninggalan generasi sebelum ini, menurut laporan BH Online.

Walaupun ini bukan usaha pertama kerana sebelum ini, Dayang pernah muncul dengan album berkonsepkan serupa berjudul Kasih serta tampil dengan konsert Kesuma Jiwa Februari, pada tahun lalu, namun keterujaan beliau tetap ada kerana impian yang didambakan selama ini menjadi kenyataan.

Bukan sahaja berjaya melunaskan hasrat terpendam, namun pembikinan album itu ibarat serampang dua mata buat Dayang kerana album Belagu menghadiahkan pengalaman dan ilmu yang sungguh berharga buatnya.

"Cabaran menghasilkan album ini bermula dari awal lagi iaitu pada peringkat pemilihan lagu. Kalau ikutkan senarai, memang ada banyak lagu. Namun, selepas mengadakan perbincangan dengan penerbit, Aubrey Suwito, hanya lapan lagu dirakamkan. Lagu ini dipilih kerana kami boleh menyuntik elemen segar dan berbeza di dalamnya.

"Untuk rakaman, saya memilih untuk buat secara live. Tak dinafikan, ia memang sukar serta membabitkan kos yang sangat tinggi. Apabila membuat rakaman secara live, bermakna kita kena bawa studio ke luar. Saya perlu minimum kesilapan supaya rakaman berjalan lancar. Lagipun, saya tak berapa gemar mengambil tempoh yang lama untuk merakamkan sesebuah lagu kerana tak mahu menjejaskan penghayatan.

"Saya bukanlah seorang penyanyi lagu asli. Jadi, saya berguru dengan penyanyi, Bob Yusof dan memintanya supaya mengajar mengenai etika dan gaya penyampaian serta lenggok nyanyian yang betul," katanya kepada BH Online.

Dayang ditemui pada majlis pra-dengar album Belagu yang diadakan di Petaling Jaya baru-baru ini.

Apabila memilih mendendangkan lagu malar segar, Dayang berkata bukan sahaja mampu membangkitkan nostalgia mereka yang pernah membesar dengan untaian itu, namun turut mengajarnya menghargai nilai estetika yang ada pada lagu berkenaan.

"Seperkara yang saya pelajari apabila merakamkan lagu bergenre seperti ini adalah bahasa orang dulu-dulu sangat indah. Bila mereka sedang bercinta, perasaan dapat digambarkan menerusi bait lirik yang dinyanyikan hingga kita sendiri dapat berkongsi perasaan itu.

"Itu dari aspek bahasa, dari sudut lain pula saya banyak belajar mengenai bahasa Melayu lama dan kiasan ditulis. Umpamanya lagu Tudung Periuk. Jujurnya, saya sendiri tertanya-tanya apa istimewanya tudung periuk hingga dijadikan lagu.

"Bila saya bertanya pada mereka yang arif, jawapan diberikan adalah lagu ini menceritakan mengenai percintaan dua darjat. Dari situ, terbit rasa kekaguman dalam diri betapa halus dan santunnya bahasa orang dulu-dulu. Malah, mesej yang terkandung dalam lagu ini masih kekal relevan hingga ke hari ini," kata penyanyi berusia 39 tahun itu kepada BH Online.

Dua dekad berada dalam belantara seni, penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu berkata beliau berasa perlu menghasilkan album ini, bukan hanya untuk melengkapkan kecemerlangan portfolionya yang sedia ada namun sebagai warisan untuk dijadikan bahan rujukan generasi akan datang.

"Bagi saya, album ini adalah satu projek yang sangat istimewa. Ia juga adalah satu penghargaan saya terhadap karya lama dan penyanyinya. Adalah menjadi tanggungjawab saya membawa lagu ini ke telinga penyanyi generasi baru.

"Apabila saya merakamkan lagu ini, seboleh mungkin saya akan cuba mengekalkan keasliannya. Cuma, muziknya sahaja diperbesarkan. Harapan saya, apabila generasi muda mendengar lagu-lagu dalam album ini, mereka boleh menerimanya. Apabila dengar timbul keinginan untuk mencari penyanyi asal lagu itu.

"Diharapkan album ini menjadi satu khazanah dan legasi buat generasi pelapis. Hanya ini sahaja yang mampu saya lakukan buat masa ini," ujar penyanyi bervokal gemersik ini.

Ternyata, Dayang tidak mensia-siakan sokongan yang diberikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi pemberian Dana Kandungan Digital (DKD) bagi menampung kos pembikinan album itu kerana produk yang dihasilkan cukup berkualiti. Walaupun ada antara lagu itu dicipta sebelum beliau dilahirkan, namun itu bukanlah penghalang untuknya memberikan nyawa kepada karya berkenaan.

Antara lagu lain dalam album termasuklah Jikalau Abang Merindu, Malam Ku Bermimpi, Gurindam Jiwa yang menyaksikannya berpadu suara dengan Hael Husaini, tari Tualang Tiga dan Dikirim Jangan Dipesan Jangan.

Single pertama, Tudung Periuk sudah pun dilancarkan di pelantar digital sejak Jumaat (15 Jan) serentak dengan muzik video dalam laman YouTube. Manakala, judul Belagu diambil daripada bahasa Sarawak yang bermaksud menyanyi.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan