Images
  • onenationemcees
    Zydee Idris (tengah) dari One Nation Emcees dilaporkan sudah sedar tetapi daya ingatannya masih kurang baik. (Gambar: Instagram/onenationemceesofficial)

Daya ingatan anggota One Nation Emcees, Zydee Idris kurang baik selepas diserang angin ahmar

KUALA LUMPUR: Anggota One Nation Emcees, Kozae Murtaza memaklumkan, rakan seperjuangannya dalam kumpulan itu, Zydee Idris, 40 tahun kini sudah sedarkan diri namun sukar untuk mengingat banyak perkara.

Kozae ketika dihubungi berkata, Zydee bagaimanapun masih lagi dalam pemantauan doktor.

"Dia dah sedar, tapi ingatannya tak berapa okay lagi. Dia tak berapa ingat beberapa benda dan keadaannya masih lagi di bawah pemantauan doktor," katanya kepada Harian Metro.

Kozae juga memaklumkan, setakat ini belum ada maklumat mengenai pembedahan.

"Setakat ini, ibunya belum memaklumkan apa-apa kepada saya mengenai pembedahan. Pihak mereka masih menunggu maklumat daripada doktor.

"Ibunya juga mengucapkan terima kasih kepada sahabat handai yang mendoakan kesejahteraan Zydee. Ibunya adalah wanita yang kuat dan dia menjaga Zydee yang juga anak tunggal," katanya.

Media tempatan melaporkan pada Jumaat (24 Sep), Zydee mengadu sakit pada bahagian dada ketika makan malam bersama rakannya dan dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

Di hospital, dia dimaklumkan mengenai penyakit darah tingginya dan tidak lama selepas itu, dia diserang strok.

Kozae juga memaklumkan bahawa Zydee sebelum ini mempunyai sejarah penyakit semput yang kronik, lapor Harian Metro.

Zydee kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, Sabah. 

- Agensi berita/SM/sm

Top