Images
  • alley main
    50 Tahun Bersama Alleycats, Konsert Terima Kasih bakal diadakan bagi meraikan 50 tahun kewujudan kumpulan legenda itu. (Gambar: Jive Talkin' Singapore/Facebook)

David Arumugam janjikan perbezaan bagi konsert ‘50 Tahun Bersama Alleycats’

BERITAmediacorp: Apakah yang boleh penonton harapkan untuk konsert kumpulan legenda Alleycats pada 2 Feb ini, sempena ulang tahun mereka yang ke-50 kali ini?

Vokalis Alleycats, David Arumugam mendedahkan, ia bakal mempesonakan peminat dengan pendekatan yang berbeza di Teater MES, Mediacorp.

“Saya rasakan peralatan di Mediacorp sangat baik dan saya tak sabar untuk konsert ini,” katanya kepada kami. Yang pasti tambah David, semestinya para peminat bakal dihiburkan dengan lagu-lagu hits mereka selama 2 jam.


(Gambar-gambar: Jive Events)

Untuk konsert di Singapura itu, kumpulan Alleycats akan menampilkan Dasha Logan, iaitu anak kepada seorang lagi anggota Alleycats, mendiang Loga Arumugam. Mendiang Loga yang merupakan adik kepada David, meninggal dunia pada 2007 akibat barah paru-paru.

Dasha dijangka membawakan beberapa buah lagu mendiang bapanya serta beberapa buah lagunya sendiri pada malam konsert.

“Dia masih baru dan saya rasakan penganjur melihat klip video dia. Mereka kagum dan menjemput dialah,” jelas Dato David.


Kali terakhir Alleycats, yang pernah merakamkan 29 album, mengadakan konsert di Singapura adalah di Esplanade, pada tahun 2012.

Namun konsert kali ini – 50 Tahun Bersama Alleycats, Konsert Terima Kasih – begitu istimewa kerana ia meraikan 50 tahun kewujudan kumpulan legenda itu. Berapa banyak kumpulan lagu-lagu Melayu yang sudah meraikan ulang tahun ke-50 dan masih lagi bertahan? Jika Sweet Charity tidak dikira, mungkin sukar untuk menyebut nama kumpulan lain.

Hakikatnya, bukan mudah untuk sesebuah kumpulan kekal sehingga 50 tahun lamanya. Alleycats yang mempunyai enam anggota, tidak lagi menyanyi di kelab-kelab atau hotel. Tetapi sebaliknya kini menyanyi untuk undangan-undangan tertentu sahaja.


Apabila ditanya mengenai rahsia kumpulan Alleycats kekal bersama sehingga lima dekad lamanya, inilah jawapan ringkas David:

“Kesabaran, saling memahami dan kerja keras!”

Bagi David pula, untuk mengekalkan daya ketahanannya sebagai penyanyi, beliau hanya mengamalkan beberapa petua menjaga suara sebelum menyanyi di pentas.

“Tiada pantang sebab suara natural, fikirkan hanya untuk menghiburkan peminat sahaja. Cuma lima jam sebelum saya menyanyi, saya tak makan sebab saya harus simpan “muscle" untuk vokal saya. Tak boleh minum jugak takut tersedak sikit nanti," kongsi beliau.


Promoter konsert iaitu Raffy Aspier dari Jive Events & Entertainment menjelaskan bahawa beliau bersama rakan kongsi memilih membawa Alleycats ke Singapura kerana mereka memerlukan satu nama besar dari kumpulan yang popular pada tahun 70-an, 80-an dan 90-an.

“Dua dari sahabat baik saya yang kini menjadi rakan kongsi saya seringkali menggalakkan saya untuk menjadi promoter konsert sebab saya telah terlibat selama 40 tahun lamanya dalam muzik. Jadi kami tidak mahu membuang masa lagi lama dengan memulakan konsert pertama kami.

Insya Allah, jika ia sukses, akan ada lagi nanti,” terang Raffy yang merupakan anggota band Singapura, Jive Talkin.


Sebelum mengakhiri temubual ini, David Arumugam sempat mengatakan beliau ingin berpesan sesuatu kepada peminat-peminat yang bakal menyaksikan konsert itu nanti.

Dengan selamba beliau mengatakan sambil menyanyi:

“Saya akan beritahu mereka Terimakasih.”

Tiket-tiket bagi konsert 50 Tahun Bersama Alleycats itu masih boleh diperolehi di www.sistic.com.sg  

- BERITAmediacorp/aq

Top