Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Cucu ikon Indonesia, Emilia Contessa, kini dirawat di NUH, Singapura dek leukemia

Shakira Aurum Wirianta, iaitu cucu penyanyi legenda Indonesia Emilia Contessa, kini berada di Singapura untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit barah leukemia yang dihidapinya. Berusia lima setengah tahun, anak kepada kepada penyanyi Denada itu memulakan rawatan di Singapura sejak 5 Jun 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
Cucu ikon Indonesia, Emilia Contessa, kini dirawat di NUH, Singapura dek leukemia

Denada dan Shakira. (Gambar: Denada)

Diterbitkan : 27 Aug 2018 10:39PM Dikemas Kini : 27 Aug 2018 11:47PM

BERITAmediacorp: Shakira Aurum Wirianta, iaitu cucu penyanyi legenda Indonesia Emilia Contessa, kini berada di Singapura untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit barah leukemia yang dihidapinya. Berusia lima setengah tahun, anak kepada penyanyi Denada itu memulakan rawatan di Singapura sejak 5 Jun 2018.

Keadaan ini membuatkan Denada terpaksa berpindah sementara ke Singapura menemani Shakira di hospital. Mentelah lagi si kecil itu dijangka menjalani rawatan kemoterapi berterusan.

BERITAmediacorp diberitahu, Shakira dibenarkan pulang pada petang Isnin (27 Ogos) dari Hospital Universiti Nasional (NUH) buat sementara waktu, setelah menjalani rawatan kemoterapi fasa 3.

Kami bertemu Denada secara eksklusif di kondominiumnya di Singapura baru-baru ini untuk mencungkil perjuangan yang beliau lalui dan menyelami pemikiran anak perempuan Emilia Contessa itu ketika diduga sekarang.

(Gambar: Freda Hassan)

(Gambar Denada di kondo beliau di Singapura. Gambar: Freda Hassan)

JANGAN KATAKAN INI PENGORBANAN…

“Saya tak berani sebut ini sebagai pengorbanan. Saya melihat ini adalah jalan Allah berikan mengatasi situasi ini. Bayangkan, banyak sekali anak-anak lain berada di posisi sama Shakira dan mereka susah kerana mereka tidak ada wang untuk bayar rawatan. Saya beruntung sekali kerana Allah sudah sediakan apartment saya yang boleh saya jual untuk biayai (rawatan). Itu hanya Allah titipkan saya sebagai jalan.”

Itulah kenyataan yang cukup mendalam dari Denada semasa mengulas tentang anaknya itu.

Beliau menceritakan terlihat beberapa kesan lebam di seluruh badan Shakira setelah anaknya pulang dari percutiannya ke Eropah. Ia disusuli dengan demam dan semakin bertambah lebam-lebam di badan Shakira saban hari. Setelah diperiksa oleh doktor di Jakarta, Shakira dikatakan menghidap penyakit leukemia.

Doktor menyarankan agar Denada mendapatkan pandangan lain untuk mengesahkan penyakit tersebut.

“Kami bercakap kepada teman-teman doktor kami. Mereka semua recommend NUH. Saya yakin di Indonesia juga banyak doktor-doktor yang bagus. Pertama, ia lebih kepada masalah teknikal. Kerana kita sudah tahu ia leukemia, jadi kita tau ia proses yang lama, perlukan banyak kali ke hospital dan lain-lain,” demikian cerita Denada mengapa Singapura menjadi lokasi pilihan untuk rawatan bagi anaknya.

Denada menambah bahawa buat masa ini, keadaan pengangkutan di Indonesia juga masih kurang mendukung untuk beliau berulang alik dari rumah ke hospital dengan mudah kerana lazimnya ada kesesakan lalu lintas.

NANGIS DEPAN DOKTOR

Yang pasti, hati seorang ibu luluh ketika berita disampaikan oleh doktor di Jakarta mengenai penyakit leukemia anak mungkil yang manja dengan ibunya itu.

Denada dan Shakira. (Gambar: Denada)

(Gambar Denada bersama anaknya, Shakira. Gambar: Denada)

"Saya menangis terus di depan doktor. Hanya ada saya dan ibu. Shakira di dalam kereta... Saya tidak dengar lagi apa yang doktor katakan. Ibu saya cuma pegang tangan saya kuat. Dia diam, tidak keluar air mata sedikit pun. Saya tahu dia cuma coba untuk menjadi kuat,” kongsi Denada dengan nada sedih.

Bahkan Denada turut menangis juga apabila mendapat pengesahan kedua dari doktor-doktor di Singapura mengenai penyakit anaknya itu.

Meneruskan perbualannya itu, Denada turut mengatakan bahawa beliau “masih menangis setiap hari meskipun sudah tiga bulan”. Beliau juga bingung. Bukan tidak bertawakal, katanya. Bukan saya tidak berserah pada Allah kerana memang Denada yakin setiap yang berlaku dalam hidup kita itu adalah ketetapan Allah.

“Tetapi saya manusia biasa… Dia (Shakira) takut sekali dengan rawatan, jarum, kemoterapi yang harus dia lakukan, saya melihat perubahan fizikal yang dia alami,” ujar beliau lagi. Seberapa boleh, Denada tidak akan menangis dan harus pura-pura kuat di hadapan anak kesayangannya itu.

Kesan kemoterapi itu membuat rambut Shakira gugur, mual-mual. Kaki anak kecil itu juga lemah, tidak seaktif dulu kerana Shakira gemar menari. Salah satu perkara yang amat sukar ialah untuk menerangkan kepada anaknya mengenai rambutnya itu.

“Dia perasan dia udah mulai botak lagi. Dia tanya kenapa? Itulah kali pertama saya lihat ia menjejasnya. Dia melihat refleksi muka dari handphone (telefon bimbit). Dia lempar handphone. Saya tanya kenapa? Dia bilang dia melihat dirinya jelek (hodoh). Kenapa saya botak? Itu betul-betul buat saya sedih sekali karna dia masih kecil sekali,” terang Denada merperlahankan suaranya.

Sehingga kini, Shakira masih belum ketahui tentang penyakitnya mahupun rawatan itu untuk apa sebenarnya. Denada rasakan belum lagi masanya untuk Shakira ketahuinya sekarang.

(Gambar: Freda Hassan)

Denada memberitahu BERITAmediacorp bahawa beliau akan berterus terang apabila Skahira sudah besar nanti. Lantaran itu, beliau mengakui bahawa “mungkin lebih baik untuk saya bohong-bohong sikit”.

PENDAPATAN DENADA TERJEJAS TERUK

Sudah tentu pekerjaan dan pendapatan Denada sebagai seorang artis terjejas memandangkan beliau berada di Singapura hampir 90 peratus sejak Jun lalu untuk berada di sisi Shakira. Kos perubatan di Singapura adalah dua sehingga tiga kali lebih mahal jika dibandingkan dengan Jakarta sehingga beliau terpaksa menjual rumahnya di Jakarta juga.

Semua ini demi menampung biaya perubatan tersebut. Bagaimana pula dengan perasaan ibunya, penyanyi Emilia Contessa? Kongsi Denada yang kelihatan tenang tetapi seakan menahan untuk tidak menangis untuk temubual ini: “Dia coba untuk kelihatan kuat. Dia kata jangan terlalu sedih, jangan takut dan bertawakkal pada Allah tapi beberapa kali saya lihat dia menangis. Dia nangis lebih kuat dari saya. Dia bilang pada saya, untuk kamu, itu adalah anak kamu tapi untuk dia, ia adalah cucu dan anak dia (Denada). Dia sedih sekali”.

Difahamkan, Emilia Contessa yang kini merupakan seorang ahli politik, turut berada di Singapura baru-baru ini untuk melawat Shakira di hospital serta membawa mainan untuk si kecil.

Di tengah-tengah semua dugaan ini, Denada ternyata mempamerkan kekuatannya yang tersendiri: “Saya cuma bilang pada Allah bahawa saya berterima kasih, saya mencintai Shakira kerana Allah. Saya tau Shakira adalah milik Allah. Kalau boleh, saya mohon pada Allah untuk saya membimbing dia, mengajar dia untuk menjadi hambanya yang pintar dan pandai bersyukur dan pandai beribadah sama Allah.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan