Images
  • mulan
    Pelakon utama filem Mulan, Liu Yifei. (Gambar: CNN International/Twitter)

China sekat liputan media bagi pelancaran filem Mulan ekoran kontroversi Xinjiang

BEIJING: Pihak berkuasa China memberitahu beberapa syarikat media utama agar tidak membuat liputan pelancaran filem "Mulan" oleh Walt Disney Co, dalam satu arahan yang dikeluarkan selepas kontroversi tercetus di luar negara berhubung kaitan filem itu dengan wilayah Xinjiang, menurut empat orang yang mengikuti perkembangan tersebut kepada Reuters.

Dijangka dibuka di pawagam-pawagam setempat pada Jumaat (11 Sep), Disney menaruh harapan tinggi untuk Mulan di China, namun sekatan liputan di negara yang mengamalkan pengawalan media secara ketat itu adalah satu lagi tamparan kepada penerbitan bernilai AS$200 juta (S$273.7 juta) itu.

Dibintangi oleh pelakon ternama kelahiran China - Jet Li, Gong Li, Donnie Yen dan Liu Yifei - dan berdasarkan cerita rakyat China, Mulan disesuaikan untuk menarik perhatian penonton di China, pasaran filem kedua terbesar di dunia.

Namun ulasan yang bercampur-campur di internet dan sekatan yang dilaksanakan di pawagam bagi mencegah virus korona dijangka menjejas penjualan, bahkan ini sudah berlaku sebelum agensi-agensi media utama menerima arahan untuk tidak membuat liputan bagi filem itu.

Tiga sumber memberitahu Reuters bahawa agensi-agensi media telah menerima notis itu.

Tiada sebab diberikan dalam notis itu, namun sumber-sumber berkata bahawa mereka percaya ia disebabkan kontroversi yang tercetus berhubung kritikan dari negara asing mengenai kaitan filem itu dengan Xinjiang.

Filem Mulan dilancarkan menerusi khidmat penstriman Disney di banyak pasaran berbanding pawagam ekoran COVID-19.

Filem tersebut yang sebahagiannya dirakam di Xinjiang, menyertakan penghargaan di peghujungnya termasuk kepada pihak berkuasa di sana, yang mencetuskan gesaan pihak-pihak dari luar negara untuk memulaukan filem itu.

Penindasan China terhadap masyarakat etnik Uighur dan Muslim lain di Xinjiang telah dikecam oleh sesetengah pemerintah, termasuk Amerika Syarikat, dan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia. 

- Reuters/TQ/tq

Top