Images
  • chef selebriti adamdidam
    (Gambar: m_farhan_289/Instagram)

Chef selebriti Adamdidam meninggal dunia

PASIR MAS: Chef selebriti Malaysia, Adamdidam atau nama sebenarnya, Muhammad Adam Mahamed Ismail,meninggal dunia pada pukul 4.00 pagi Ahad (19 Mei).

Beliau meninggal dunia pada usia muda 29 tahun akibat jangkitan kuman pada paru-paru, lapor Bernama.

Bapa Allahyarham, Mahamed Ismail Mohamed Yusoff, 69 tahun, berkata anaknya itu disahkan dijangkiti kuman pada paru-paru selepas demam panas kira-kira sebulan lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga.

“Selepas berulang-alik ke hospital beberapa kali, kami sekeluarga mengambil keputusan untuk Allahyarham berehat di rumah dan mengurangkan aktiviti penggambaran,” kata Encik Mahamed Ismail.

Beliau reda dengan pemergian anak bongsu daripada lima beradik itu yang mesra dipanggil ‘Mamaji’ dalam kalangan keluarga.

“Arwah anak sangat baik dan tidak pernah menyusahkan saya dan ibunya, malah adik-beradik yang lain menyenangi perangainya,” ujar Encik Mahamed Ismail.

Jenazah Allahyarham Muhammad Adam selamat dikebumikan di di Tanah Perkuburan Islam Lemal di Pasir Mas, Kelantan, pada 11.05 pagi tadi. Awal dari itu, lapor Bernama, jenazah disembahyangkan di Masjid Telipot pada jam 10.05 pagi.

Sekitar 150 orang termasuk keluarga dan rakan terdekat hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di masjid serta tanah perkuburan.

Menurut mStar, Allahyarham Muhammad Adam seolah-olah memberikan bayangan tentang keadaan kesihatan diri beliau menerusi catatan kedua terakhirnya di akaun Instagram-nya.

"Sudah terlalu lama saya menghilang... apabila sesuatu berlaku, memang sukar untuk mengembalikan kehidupan anda kepada sediakala. Sekelip mata, hidup anda berubah 360! Dan perancangan anda? Lupakan sahaja. Ia hilang. Anda rasa tidak berdaya.

"Terlalu banyak berfikir dan semua perkara mengarut menerjah ke fikiran. Sekurang-kurangnya itu apa yang saya rasa. Tetapi percayalah, selepas semua masalah, ada kehidupan yang kuat, sihat dan bahagia yang menanti anda

"Sebuah hidup yang lebih baik! Diri anda yang lama akan hilang, tetapi yang baharu ada di sini. Bukannya buruk, tetapi semangat yang lebih baik. Sesiapa yang berdepan ujian, ingatlah, Dia memberikan ujian paling getir kepada hamba-Nya yang paling disayangi," tulis Adam pada 20 Februari lalu.

Allahyarham Muhammad Adam ialah peserta rancangan Hero Oven musim kedua siaran TV3, lapor mStar, dan beliau pernah mengacara Rasa Ketuhar Kuali serta Jelajah Rasa Nusantara di saluran Astro. 

- Agensi berita/FZ/fz

Top