Images
  • chadwick black panther
    (Gambar: AP)

Catatan terakhir Chadwick Boseman paling banyak disukai dalam sejarah Twitter

SINGAPURA: Catatan terakhir dikirim ke akaun Twitter Chadwick Boseman yang berkongsi khabar kematiannya adalah ciapan yang terbanyak disukai di Twitter sepanjang masa, menurut laman berita hiburan Hollywood Reporter dan Variety.

Twitter membuat pengumuman itu di akaun rasminya pada Sabtu (29 Ogos) menyusuli berita mengejut tentang kematian Boseman pada Jumaat akibat barah usus.

"Para peminat bergabung di Twitter untuk meraikan kehidupan Chadwick Boseman, dan catatan yang dihantar dari akaun beliau semalam kini adalah ciapan paling banyak disukai di Twitter," menurut kenyataan syarikat itu.

"Para peminat juga sedang berusaha menganjurkan tontonan Black Panther beramai-ramai di Twitter menggunakan (tanda pagar) BlackPanther dan WakandaForever, maka Twitter menghidupkan semula emoji asal BlackPanther supaya para peminat boleh menonton dan membincangkan warisan yang beliau tinggalkan."

Boseman meninggal dunia di rumahnya di Los Angeles, ditemani isterinya dan ahli keluarga yang lain, pada usia 43 tahun setelah empat tahun memerangi barah usus.

Catatan terakhir di akaun bintang itu mendedahkan diagnosis barah Boseman dan satu kenyataan oleh keluarga pelakon tersebut.

Menurut Variety, catatan Twitter yang paling banyak menerima tanda suka sebelum ini adalah dari mantan presiden Amerika Syarikat Barack Obama, yang menukil kata-kata Nelson Mandela, "Tiada sesiapa dilahirkan dengan sifat benci terhadap orang lain atas dasar warna kulit atau latar belakang atau agamanya." Catatan itu dimuat naik pada 12 Ogos 2017, pada hari sama dengan serangan kereta Charlottesville di Amerika Syarikat ketika satu bantahan terhadap golongan pelampau kulit putih.

Selepas kematian Boseman, Obama turut memuat naik catatan memberi penghormatan menyentuh hati kepada pelakon tersebut.

"Chadwick pernah ke Rumah Putih untuk mendampingi kanak-kanak ketika beliau memainkan watak Jackie Robinson," tulis mantan presiden itu. "Anda dengan mudah boleh melihat beliau dikurniakan kelebihan. Berusia muda, berbakat dan berkulit hitam; menggunakan kuasa itu untuk menjadi wira yang boleh dihormati; melakukannya sedangkan beliau dalam kesakitan - alangkah baik cara beliau memanfaatkan hayatnya."

- CNA/Agensi berita/TQ/tq

Top