Images
  • c2

Caliph Buskers cerita tentang diskriminasi, kad ATM dan cita-cita jadi otai malar segar

BERITAmediacorp: Menjadi artis banyak cabarannya. Tetapi kalua Orang Kurang Upaya (OKU) menjadi artis, cabarannya malah lebih hebat lagi. Itulah yang dialami kumpulan Caliph Buskers dari Malaysia yang dianggotai para penyanyi kurang pancaindera penglihatan.

Di sebalik kekurangan itu, kelima-lima anggota Caliph Buskers dianugerahkan suara emas dan keupayaan menyanyi dan bermain alat muzik dengan baik sehingga mereka dilamar menjadi artis rakaman.

Kini mereka kurang “busking” disebabkan kesibukan mempromosikan single terbaru mereka berjudul Manusia. MTV lagu tersebut sudahpun boleh ditonton di YouTube bermula 15 Januari.


Sebelum ini, kumpulan tersebut pernah bertanding dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) TV3 dan Anugerah Planet Muzik, Singapura. Persembahan mereka secara “live” untuk AJL29 di Kuala Lumpur pernah mendapat “standing ovation” apabila Caliph Buskers membawakan lagu Romantika bersama Mojo.

Tiga wakil Caliph Buskers iaitu Azmi, Nadira dan Fendy hadir bertemu dengan BERITAmediacorp di Kuala Lumpur baru-baru ini. Azmi bersemangat berkongsi pengalaman sebagai artis.

PERNAH DIDISKRIMINASI SEBAGAI ARTIS OKU?

Apakah artis OKU seperti mereka pernah melalui diskriminasi disebabkan oleh kekurangan mereka itu? Ini kata Azmi:

“Kalau dalam industri setakat ini tidak ada diskriminasi. Sejujurnya bila awal-awal masuk AJL mungkin sebab orang takut . Jangankan nak bagi peluang, nak sembang dengan orang OKU pun mereka takut. Mereka takut mereka tersalah cakap sedangkan bila mereka dah kenal Caliph Buskers, kita pun bergurau kasar jugak.”


Antara soalan yang takut diajukan kepada mereka ialah sejak bila anggota Caliph Buskers tidak boleh Nampak, tambah vokalis peramah itu.

“Nak tanya soalan itu pun dia takut soalan itu sensitif. Sebenarnya orang OKU ini tidaklah sensitif macam itu kerana kami dah biasa bercampur dengan orang-orang normal di sekolah,” ulas Azmi.

Sebelum ini, ada juga pihak yang menyangka bahawa untuk melibatkan kumpulan tersebut untuk sesebuah produksi televisyen agak sukar.

“Bila abang Edry KRU nak bawak Caliph Buskers ada kata tak takut ke nanti kita nak letak api di atas pentas takut kami terkejut nanti. Tapi bila abang Edry dah bawak kita ke Muzik-Muzik, barulah mereka tahu mudah sahaja bawak Caliph Buskers,” terang Azmi lagi.

“BILA ADA PELUANG, KITA BUAT SEHABIS CANTIK…”

Azmi akur tentang kebimbangan pihak produksi mengenai keselamatan anggota Caliph Buskers apabila berada di atas pentas. Beliau akui perlu memahami juga keperluan pihak televisyen yang pentingkan kualiti rancangan tersebut . Sambungnya dengan tenang kepada BERITAMediacorp:

“Mereka mungkin tidak faham jadi tugas kita adalah untuk cuba tunjukkanlah caranya.”

Sebagai artis, mereka pastikan akan memberikan persembahan dan komitmen sebaik-mungkin supaya akan timbul kepercayaan dari semua pihak yang terlibat.

“Kalau mereka dah bagi kita ruang untuk buat persembahan di TV tapi kita pakai baju yang tak ok, persembahan kita tak cantik itu bermakna kita sia-siakan peluanglah. Bila ada peluang kita buat sehabis baik biar orang akan lebih yakin dan lebih membuka peluang untuk orang-orang macam kami.”


Azmi berkongsi bahawa sebelum ini ada juga pihak bank yang enggan membenarkan OKU membuka akaun bank atas beberapa kebimbangan seperti takut jika kad ATM yang diberikan akan hilang atau rosak.

“Ada bank-bank lain yang bagi. Tidak ada masalah pun. Setakat ini kad ATM saya tak hilang atau ditipu orang yang cuba nak keluarkan duit saya.”

PAPA ROCK RAMLI SARIP IDOLA CALIPH BUSKERS

Menerusi single terbaru mereka berjudul Manusia yang telahpun diedarkan pada 29 November 2019 lalu, Caliph Buskers berharap agar lagu tersebut mengingatkan semua untuk sedar diri bahawa setiap manusia boleh terlalai dan membuat salah tetapi jangan ssesekali mencari kesalahan orang lain. Kata vokalis tersebut:

“Baiklah kita cari kesalahan kita sendiri, itulah manusia.”


Beliau bersetuju bahawa kebanyakan lagu-lagu hits Caliph Buskers seperti Hanya Namamu, Buta, Romancinta dan Hanya Mimpi bernada perlahan. Sambung beliau sambil tertawa:
“Saya nak jugak cabaran dapat lagu-lagu rancak. Untuk single berikut, nak cuba lagu K-Pop (ketawa) mungkin sebab peminat K-Pop fanatik sikit kan? Mana tahu kalau dapat tarik jiwa mereka kan ? Lagu K-Pop tapi liriknya kemelayuan.”

Idolanya ialah Papa Rock, Ramli Sarip . Menurutnya, lagu-lagu idolanya yang puitis itu memang sesuai dan kena dengan jiwanya seperti lagu berjudul Batu nyanyian Ramli Sarip yang berbentuk nasihat.

Seperti artis lain, Caliph Buskers juga ingin bertahan menjadi malar segar dalam industri hiburan selama mana yang boleh seperti artis-artis veteran yang lain.

“Kalau boleh nak berjaya macam otai-otai idola kami dalam industri. Setiap kali keluar lagu baru agar semua orang suka dan dapat hayati apa yang kami nak sampaikan sebab biasanya lagu-lagu kami keluarkan ada isi dari lirik yang ingin kami sampaikan,” kata Azmi bersungguh-sungguh. 

- BERITAmediacorp/na

Top