Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Caliph Buskers batalkan persembahan hormati pemergian cahaya mata vokalis Azmi Saat

Kumpulan Caliph Buskers membuat keputusan membatalkan persembahan bagi menghormati pemergian cahaya mata sulung vokalis mereka, Azmi Saat.

Anggaran Waktu Membaca:
Caliph Buskers batalkan persembahan hormati pemergian cahaya mata vokalis Azmi Saat

Vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat dan isterinya kehilangan cahaya mata mereka yang baru dilahirkan beberapa hari lalu. (Gambar: Instagram/caliphbuskersofficial)

Diterbitkan : 01 Oct 2021 07:48AM Dikemas Kini : 01 Oct 2021 07:55AM

KUALA LUMPUR: Kumpulan Caliph Buskers membuat keputusan membatalkan persembahan bagi menghormati pemergian cahaya mata sulung vokalis mereka, Azmi Saat.

Pemain dram kumpulan itu, Fendy Adlun, ketika dihubungi Harian Metro berkata, mereka sepatutnya terbabit dalam rakaman persembahan maya untuk sebuah syarikat terkemuka semalam (30 Sep).

"Namun dengan dugaan duka menimpa Azmi, kami akhirnya buat keputusan membatalkan terus persembahan itu sebagai menghormati kesedihan Azmi dan isterinya.

"Penganjur nak cepat tapi kami perlu faham perasaan Azmi dan isterinya, Nazira Muhammad. Akhirnya kami putuskan untuk batalkan terus persembahan nyanyian itu.

"Insya-Allah, duit esok lusa pun masih boleh cari. Macam saya ditimpa kesusahan pada Julai lalu, Azmi antara yang membantu. Sekarang, dia perlukan sokongan moral, dan kami pula akan bantu yang termampu," katanya kepada Harian Metro.

Anak sulung Azmi yang dilahirkan empat hari lalu yang dinamakan Khairul Afnan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan pada 1.19 petang semalam.

"Doktor mengesyaki bahagian otak Afnan ada masalah sebab dia tidak bergerak, jadi perlu buat ujian imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) bagi memeriksa otaknya dan punca sebenar.

"Tapi puncanya, Azmi akan memberikan kenyataan sendiri. Sekarang ini, dia memohon berikan dia masa dan apabila ada kelapangan nanti, dia sendiri akan memberikan kenyataan," kata pengurus Azmi, Syah Rahman.

Khairul Afnan meninggal dunia di pangkuan pasangan suami isteri itu. Selepas alat bantuan pernafasan dibuka, Azmi dan isterinya diberi peluang untuk meriba anak mereka sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Fendy dan Zaki mewakili Caliph Buskers hadir ke hospital sekitar jam 2.00 petang tadi sebagai tanda sokongan buat rakan mereka itu.

Menurutnya, Azmi ketika ditemui mereka berada dalam keadaan tenang dan boleh bergurau serta berbual seperti biasa, lapor Harian Metro.

"Sebelum ini, Azmi memang teruja sewaktu awal kehamilan isterinya. Kami antara orang terawal yang diberitahu dan dia amat bersyukur kerana mereka pun dah 10 tahun menanti rezeki cahaya mata.

"Apa-apa saja perkara dia akan 'update' (beritahu) pada rakan dalam Caliph Buskers dulu, sebab kami antara orang terdekat dengannya. Apabila jadi begini, kami pun turut sama berasa sedih.

"Kita tahu penantian 10 tahun bukanlah masa yang singkat. Apapun, saya rasa terharu dan bersyukur ramai peminat memberi kata semangat dan mendoakan 'anak syurganya' itu ," katanya. 

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan