Images
  • film
    (Gambar: Bernama)

Cadangan SOP penggambaran, acara langsung dibentang esok

KUANTAN: Cadangan prosedur operasi standard (SOP) bagi kebenaran mengadakan aktiviti seni termasuk penggambaran dalam dan luar studio serta acara langsung, akan dibentangkan di mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata SOP itu yang disifatkan lebih ketat berbanding sebelum ini, diharap akan memperolehi kelulusan segera bagi memastikan kelangsungan hidup mereka yang mencari makan menerusi aktiviti seni kerana kebanyakannya kini berdepan situasi 'tiada kerja, tiada gaji'.

“Kita faham dalam produksi drama atau filem, 80 peratus ialah kru produksi atau pekerja yang dibayar gaji secara harian. Kerja mereka menjadi terhad jika hanya dibenarkan membuat penggambaran dalam studio kerana kebanyakan adegan berlaku di luar.

“Selain itu, turut menjadi perhatian KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) ialah acara langsung seperti ‘busking’ yang menjadi rezeki, termasuk kepada orang kurang upaya (OKU). Walaupun ada yang melihat aktiviti ini sebagai halwa telinga dan bukan perkhidmatan perlu, namun ia melibatkan soal mencari makan,” katanya.

Encik Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian di sidang media Program Kembali ke Sekolah 2021 di pusat khidmatnya hari ini ketika diminta mengulas rayuan penggiat seni untuk dibenarkan bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang berkuat kuasa sehingga 18 Feb ini.

Cadangan SOP itu, menurut Encik Saifuddin, dibangunkan dengan pelibatan semua pihak termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan persatuan berkaitan, selain berdasarkan pengalaman serta penyelidikan amalan syarikat produksi luar negara dalam situasi pandemik COVID-19.

“Kami juga mendapat pengakuan daripada mereka yang memohon diberikan kebenaran bahawa mereka akan memastikan pematuhan SOP dan bersedia jika disyaratkan perlu mempunyai pihak luar seperti anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) sebagai pemantau, selain dipantau sendiri oleh FINAS.

“Mereka juga telah menunjukkan pematuhan kepada SOP sepanjang aktiviti itu dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), menyebabkan mereka yakin boleh mematuhi syarat yang dikenakan kali ini,” katanya.

- BERNAMA/NA/na

Top