Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Cabaran kurus 20 hari Shaheizy Sam bukan olok-olok

Pelakon Shaheizy Sam menyangkal tanggapan konon usaha beliau untuk menurunkan berat badan selepas bertubuh gempal sebelum ini sebagai satu gimik.

Anggaran Waktu Membaca:
Cabaran kurus 20 hari Shaheizy Sam bukan olok-olok

(Gambar: Shaheizy Sam Samad/Facebook)

Diterbitkan : 25 Aug 2019 07:10PM Dikemas Kini : 25 Aug 2019 07:20PM

KUALA LUMPUR: Pelakon Shaheizy Sam menyangkal tanggapan konon usaha beliau untuk menurunkan berat badan selepas bertubuh gempal sebelum ini sebagai satu gimik.

Dakwaan itu dibuat sesetengah pihak menyusuli tindakan aktor itu melancarkan program menurunkan berat badan #20dayschallenge baru-baru ini, lapor BH Online.

Bahkan, Sam turut membuka penyertaan program itu kepada 33 peminat dan orang awam yang senarainya bakal diumumkan pada Isnin (26 Ogos).

“Semua ini bukan gimik seperti difikirkan sesetengah orang. Bagi saya, soal berat badan - sama ada kurus atau gemuk - berbalik kepada kesedaran diri," ungkap Sam.

“Pada satu ketika, saya sendiri tekun menjaga badan bagi menjayakan watak dalam filem. Ada masanya, seperti orang lain juga, saya mahu menikmati makanan tanpa rasa bersalah. Semuanya bergantung kepada pilihan masing-masing,” jelasnya lanjut.

Salah satu sebab utama mengapa Sam bertungkus lumus menurunkan berat badannya adalah kerana beliau bakal, sekali lagi, membintangi filem Polis Evo buat siri ketiga dengan jadual penggambaran akan dimulakan tidak lama lagi.

Barisan pelakon utama Polis Evo 2. (Gambar: shaheizy_sam/Instagram)

“Usaha menaikkan atau menurunkan berat bukan susah. Paling utama, kita kena ada semangat dan dedikasi untuk berbuat begitu. Jika betul caranya, ia menjadi proses yang mudah.

“Saya pernah menguruskan badan untuk watak dalam filem, Pinjamkan Hati dan kembali ‘sado’ dalam Polis Evo.

“Cuma, kali ini, usaha saya itu lebih menyeronokkan kerana ia turut membabitkan penyertaan peminat dan orang awam, selama 20 hari cabaran berlangsung,” kongsinya kepada BH Online.

Menurut Sam lagi, sepanjang usaha mengurangkan berat badannya juga, beliau banyak belajar mengenai kaedah pemakanan sihat dan diet sesuai untuk mengecapi bentuk tubuh idaman. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan