Bunga Citra Lestari selebriti paling terkesan atas pemergian BJ Habibie
"Selamat jalan Eyang...," ungkap artis Indonesia, Bunga Citra Lestari, atas pemergian mantan presiden ketiga Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie atau lebih dikenali sebagai BJ Habibie.
JAKARTA: "Selamat jalan Eyang...," ungkap artis Indonesia, Bunga Citra Lestari, atas pemergian mantan presiden ketiga Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie atau lebih dikenali sebagai BJ Habibie.
Bunga Citra Lestari, yang lebih mesra dengan gelaran BCL, adalah antara mereka yang mengungkapkan rasa dukacita sebaik sahaja menerima berita sedih itu.
Beliau jelas terkesan dengan pemergian Allahyarham yang disapanya sebagai Eyang, dengan memuat naik emoji wajah dengan tangisan di ruangan Instagram story.
Beliau turut memuat naik sebuah video yang menampilkan dirinya di atas panggung serta klip wawancara bersama Allahyarham, yang juga dimuatnaikkan ke Instagram peribadinya.
"Selamat jalan Eyang... Salah satu pria paling luar biasa yang pernah saya kenal dalam hidup saya.
"Terima kasih atas semua cinta, semua kebaikannya, dan semua dukungannya," tulisnya.
Dalam catatannya pada Rabu (11 Sep), BCL turut melahirkan rasa kesal kerana tidak sempat bertemu dengan Allahyarham.
"Sangat menghancurkan hati saya bahawa saya tidak memiliki kesempatan untuk mengatakan selamat tinggal padamu, tetapi kamu sudah berada di tempat yang lebih baik sekarang. Aku mencintaimu, Eyang," tambahnya.
BCL sememangnya dikenali ramai sebagai antara selebriti yang rapat dengan Allahyarham, lapor Astro Awani.
Beliau sebelum ini pernah memainkan watak ibu Ainun dalam filem 'HABIBIE & AINUN' yang berkisahkan isteri Allahyarham, iaitu Hasri Ainun Habibie.
Sehari sebelum pemergian Habibie, BCL dilaporkan mengirim bunga kepadanya.
Menurut laporan Astro Awani, Allahyarham BJ Habibie juga sangat menyenangi suami BCL, Ashraf Sinclair dan anak lelakinya, Noah.
Namun bukan sahaja BCL, malah pelakon Indonesia Reza Rahadian yang memainkan watak Habibie dalam filem Habibie itu juga memang dilihat sangat rapat dengan Allahyarham.
Mereka menyifatkan Allahyarham sebagai insan yang sangat rendah diri dan sering memberikan nasihat kepada mereka.
"Saya rasa kalau bukan kerana filem itu (Habibie & Ainun), saya tidak akan dapat mengenali siapa Eyang," kata Reza seperti dipetik oleh Astro Awani.
Allahyarham BJ Habibie meninggal dunia pada Rabu (11 Sep) pada usia 83 tahun.
Allahyarham juga sebelum ini sempat mendapatkan rawatan intensif di Hospital Pusat Angkatan Darat (RSPAD) Gatot Soebroto kerana masalah kesihatan.
Sebelum ini, pada Mac 2018, Allahyarham juga pernah menjalani rawatan intensif di Munich, Jerman akibat pelbagai komplikasi berkaitan jantung, paru-paru dan ‘asphyxia’.
LAPORAN BERKAITAN:
Mantan Presiden Indonesia BJ Habibie meninggal dunia
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.