Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Bunga Citra Lestari kongsi pengalaman bangkit semula selepas pemergian suami

Pengalaman berbelas tahun sebagai pelakon tidak dapat menyediakan Bunga Citra Lestari untuk menghadapi kehilangan paling besar dalam hidupnya, iaitu pemergian mengejut suaminya Ashraf Sinclair.

Anggaran Waktu Membaca:
Bunga Citra Lestari kongsi pengalaman bangkit semula selepas pemergian suami

(Gambar: Instagram/Bunga Citra Lestari)

Diterbitkan : 14 Feb 2021 10:41PM Dikemas Kini : 14 Feb 2021 10:43PM

KUALA LUMPUR: Pengalaman berbelas tahun sebagai pelakon tidak dapat menyediakan Bunga Citra Lestari untuk menghadapi kehilangan paling besar dalam hidupnya.

Dalam pendedahan eksklusif di saluran YouTube miliknya, Bunga memaklumkan beliau menerima pemergian secara tiba-tiba suaminya, Ashraf Sinclair, namun seperti manusia biasa yang lain, masih ada sebahagian daripada dirinya yang berharap apa yang terjadi hanya sekadar mimpi buruk.

"Saat dia pergi, saya sudah dapat menerima yang suami saya sudah tiada. Tetapi entah kenapa saya masih berharap saya cuma bermimpi buruk.

"Bertahun saya menjadi pelakon, saya sudah biasa menyerap emosi kehilangan seperti yang dikehendaki pengarah. Nyata ia tidak mampu membuat saya bersedia menghadapi kehilangan yang sebenar.

"Selama beberapa hari selepas Ashraf pergi, saya asyik menampar diri sendiri, bangunlah, kenapa saya masih tidak bangun dari mimpi.

"Ashraf orang pertama paling rapat dalam hidup saya, yang pergi meninggalkan saya. Saya cakap, Tuhan, aku redha dan aku ikhlas. Tidak ada momen di mana saya histeria dan tak dapat terima pemergiannya.

"Saya redha, cuma kejutan itu terlalu besar," katanya dalam siri #BCLMelangkahLagi, berjudul Love Story #2 - Hari-Hari Terakhir Ashraf, seperti dinukil laporan Astro Awani.

Pelakon dan penyanyi itu mengakui, sepanjang tempoh beliau cuba menyesuaikan diri dengan ketiadaan suami yang hidup bersamanya selama 12 tahun, beliau tidak pernah marah dengan takdir.

Sebaliknya, apa yang diratapi adalah persoalan bagaimana beliau harus meneruskan hidup.

"Saya tidak marah dengan takdir Tuhan. Cuma saya berada dalam situasi 'tidak tahu'.

"Selama saya hidup, saya diajar untuk menerima apa sahaja situasi. Apa pun yang terjadi, 'acceptance', atau penerimaan itu penting, baru boleh ke peringkat seterusnya.

"Saya bertanya kerana saya memikirkan apa yang akan jadi, terutama dalam hidup saya dan anak, Noah. Saya masih ada bapa, bapa Ashraf juga masih ada.

"Tetapi Noah, anak saya, sudah kehilangan bapanya. Di mana lagi saya boleh cari figure yang begitu untuk Noah," katanya sambil menyeka air mata dalam temu bual bersama Daniel Mananta.

Meskipun kelihatan tenang sepanjang temubual itu, Bunga menyifatkan kehilangan Ashraf membuatkan beliau kembali memikirkan apa sebenarnya yang dicari dalam hidup.

"Saya seorang yang teratur. Saya ada aturan dalam hidup saya, ada masa untuk keluarga dan ada masa untuk kerja.

"Bukanlah saya menyesal kerana memberi tumpuan kepada kerjaya. Tetapi hari ini bila difikirkan kembali, saya tertanya, untuk apa saya 'berlari' selama ini? Apa yang saya kejar?

"Kalaulah saya tahu masa saya dengan dia hanya 12 tahun, mungkin keutamaan saya juga berubah. Mungkin saya tidak 'berlari' begitu, dalam keadaan saya sendiri tidak tahu apa yang saya kejar," ujarnya seperti dinukil Astro Awani.

Video itu yang dimuat naik pada 12 Feb telah menerima lebih 800,000 tontonan sejauh ini.

Ashraf, 40, meninggal dunia pada 18 Feb tahun lalu, akibat serangan jantung.

Sumber : Agensi berita/HA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan