Images
  • wgs
    (Gambar: Wisma Geylang Serai/Facebook)

Bulan Bahasa@WGS sajikan 6 bengkel kesusasteraan dan konsert percuma 2D

SINGAPURA: Hab sosial, budaya dan warisan Melayu, Wisma Geylang Serai (WGS) berganding bahu dengan enam badan kesusasteraan dan budaya Melayu untuk menyemarakkan lagi sambutan Bulan Bahasa buat dua tahun berturut-turut.

Dengan tumpuan khusus pada golongan muda, antara lain, ia menganjurkan pelbagai kegiatan sastera dan puisi dalam bentuk muzik, termasuk konsert istimewa yang menampilkan kumpulan tanah air, 2D.

KONSERT '2D CONTINUED' AJAK PENONTON BERHIBUR, PUPUK CINTA TERHADAP KESUSTERAAN MELAYU


"Cenderawasih burung kayangan,
Tuanku putih kilau keemasan,
Pandanglah hamba si gagak hutan,
Sebelah mata pun hamba tak terkilan...
"

Lirik dari lagu 'Cenderawasih' nyanyian 2D antara ungkapan yang mencerminkan keindahan bahasa dan budaya Melayu.

Ditulis oleh Allahyarham Zaidy Nandir, ia berkisahkan tentang kepahitan cinta yang tidak dibalas.

Pernah menjadi siulan masyarakat, ia turut memenangi Lagu Terbaik Singapura di Anugerah Planet Muzik yang pertama pada 2001.

Bersempena dengan sambutan Bulan Bahasa di WGS, 2D akan kembali mengubat rindu para peminat pada 5 Oktober bagi sebuah konsert percuma, '2D Continued'.

Selama dua jam, penonton akan diajak mengimbas kembali perjalanan seni kumpulan itu dengan persembahan lagu-lagu seperti 'Seindah Syurgawi', yang diiringi Orkestra Melayu Singapura.


"Dengan kembalinya kami kali ini, kami harap masyarakat dapat menghargai cara penulisan lirik Melayu dengan menggunakan kata-kata puitis. Mungkin dengan trend muzik yang sekarang ini, kita dapat menyatukan Budaya Melayu dan juga pengaruh-pengaruh Barat dan dapat mencetuskan satu identiti yang lebih baru lagi di masa sekarang," kata Rifa'ah Ridzuwanulhakim, salah seorang anggota kumpulan 2D.

Lebih manis lagi, kumpulan itu turut meraikan ulang tahun mereka tahun ini sejak berkecimpung dalam industri seni, 20 tahun lalu.

Sungguhpun demikian, Rifa'ah berharap generasi sekarang dapat menjadi pelapis muzik Melayu.

"Sebagai pengkarya, kita rasa yang mutu penulisan artis-artis muda, berkurangan. Dari segi susunan muzik, memang terkini. Tapi dari segi penulisan, banyak yang boleh diusahakan.

"Jadi kita mengharap dengan adanya kita kembali, sebab itu '2D Continued', kita akan cuba untuk melahirkan lebih banyak lagi bakat yang mewakili generasi sekarang," ujar Rifa'ah yang dijangka akan mengadakan konsert berbayar bersama kumpulan itu dalam masa terdekat.

GABUNGKAN SENI DAN BUDAYA UNTUK PIKAT LEBIH RAMAI ANAK MUDA

Dengan sasaran 3,000 pengunjung, WGS berharap kegiatan-kegiatan yang dianjurkan bersama badan-badan mapan seperti Angkatan Sasterawan '50 (ASAS '50) dan Kumpulan Angkatan Muda Sastera (KAMUS) akan dapat menarik pencinta sastera, khususnya, golongan belia.

Ini termasuk bengkel adaptasi karya sastera ke skrin, malam sastera Melayu PERBAYU, wacana sastera Singapura serta seminar kata seni kata yang turut menampilkan artis tempatan, Art Fazil.


Menurut Penolong Pengarah Program Bersepadu WGS, Encik Muhd Yunus Haroon: "Kami tumpukan kepada usaha mendapatkan belia-belia untuk datang ke Wisma Geylang Serai untuk mempelajari lebih lanjut tentang karya dan budaya Melayu melalui sastera dan puisi dalam bentuk muzik. Dengan itu kami bekerjasama dengan enam persatuan untuk menganjurkan bengkel-bengkel bermutu."

Sambutan Bulan Bahasa@WGS berlangsung setiap Sabtu, bermula 21 September hingga 13 Oktober.

Butir-Butir Pendaftaran:

21 Sep, 4.00 - 6.00 petang @ Tingkat 4, Project Studios: Seminar Kata Seni Kata
Pendaftaran di lokasi (walk-in)

28 Sep, 2.00 - 6.00 petang @ Tingkat 4, Project Studios: DUIT! DUIT!
Lungsuri: https://bdmi.mimbar.sg/event/1158

28 Sep, 9.00 pagi - 1.00 tengah hari dan 5 Okt, 9.00 pagi - 3.00 petang @ Tingkat 4, Project Studios: Bengkel Adaptasi Karya Sastera Ke Skrin
Emel: kamussinggapura@gmail.com

5 Okt, 8.00 - 10.00 mlm @ Tingkat 1, Pentas: Konsert '2D Continued'
Lungsuri: https://peatix.com/event/1308519

12 Okt, 5.00 petang - 10.00 malam @ Tingkat 4, Project Studios: Malam Sastera Melayu Perbayu
Pendaftaran di lokasi (walk-in)

13 Okt, 10.00 pagi - 5 petang @ Tingkat 4, Project Studios: Wacana Sastera Singapura
Hubungi: A. Samat Ali (9665 2644) atau Hartinah Ahmad (9846 0646)
*Sila daftar sebelum 23 Sep 

- BERITAmediacorp/tq

Top