Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Bob Dylan keluarkan album karya asli pertama dalam hampir sedekad

Legenda lagu rakyat dan rock Amerika Syarikat Bob Dylan mengeluarkan album baru dengan lagu-lagu karya asli buat pertama kali dalam masa lapan tahun pada Jumaat (19 Jun), dengan album 10 lagu berjudul "Rough and Rowdy Ways."

Anggaran Waktu Membaca:
Bob Dylan keluarkan album karya asli pertama dalam hampir sedekad

Gambar fail Bob Dylan (Gambar: Fred TANNEAU/AFP)

Diterbitkan : 20 Jun 2020 01:25PM Dikemas Kini : 20 Jun 2020 01:37PM

NEW YORK: Legenda lagu rakyat dan rock Amerika Syarikat Bob Dylan mengeluarkan album baru dengan lagu-lagu karya asli buat pertama kali dalam masa lapan tahun pada Jumaat (19 Jun), dengan album 10 lagu berjudul "Rough and Rowdy Ways."

Album studio ke-39 Dylan, yang diterbitkan 58 tahun setelah album sulungnya, mengandungi lagu balada 17 minit tentang pembunuhan John F Kennedy serta lagu penghormatan kepada legenda 'electric blues' Amerika, Jimmy Read.

"Rough and Rowdy Ways" adalah koleksi bahan-bahan baru pertama oleh pemenang anugerah Nobel itu sejak "Tempest" pada 2012. Namun sejak itu beliau pernah mengeluarkan beberapa album yang menampilkan lagu-lagu yang dinyanyikan semula.

Baru-baru ini Dylan, 79 tahun, ditanya dalam satu wawancara tentang senikata lagu pertama album itu "I Contain Multitudes" yang menyentuh tentang kematian. Temu bual bersama The New York Times itu adalah yang pertama sejak beliau menerima anugerah Hadiah Nobel bagi Sastera pada 2016.

"Saya memikirkan tentang kematian umat manusia," jawab Dylan.

"Kehidupan setiap orang bersifat begitu sementara. Setiap manusia, tidak kira betapa kuat atau berkuasa, akan menjadi lemah tatkala mati. Saya memikirkannya secara umum, bukan secara peribadi."

"SEMEMANGNYA KLASIK"

Majalah muzik Britain NME menyifatkan album itu sebagai "mungkin kenyataan puitis terhebatnya setakat ini".

Majalah Rolling Stone memuji album itu sebagai "sememangnya klasik", dan menyifatkannya sebagai salah satu album Dylan "yang paling tepat pada masanya".

Meskipun sudah berusia 80 tahun, Dylan, yang dianugerahkan Pingat Presiden bagi Kebebasan oleh Barack Obama pada 2012, mengadakan konsert jelajah hampir tanpa henti sepanjang tiga dekad lalu.

Krisis penularan COVID-19 memaksanya membatalkan siri persembahan di Jepun dan Amerika Utara pada musim panas dan musim bunga, namun beliau sudah berjanji untuk menyambung jelajah konsertnya setelah keadaan kembali selamat.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan