Images
  • william shatner star trek
    Willliam Shatner (kanan) setelah mendarat dari penerbangan Blue Origin menembusi atmosfera Bumi pada 13 Okt 2021 (Gambar: Getty Images menerusi AFP)

Bintang Star Trek William Shatner kini bergelar 'angkasawan'

VAN HORN, Texas: Pelakon Star Trek, William Shatner akhirnya menjadi pengembara angkasa lepas yang sebenar dalam misi kedua Blue Origin pada Rabu (13 Okt), sambil menyifatkannya sebagai satu pengalaman yang paling luar biasa dalam hidupnya.

"Sungguh luar biasa," kata warga Kanada berusia 90 tahun itu, yang terkenal melalui rancangan cereka sains tersebut sebagai Kapten James T. Kirk yang berani, watak yang pertama kali dijayakannya lebih setengah abad yang lalu.

Beliau melakukan perjalanan 11 minit ke luar atmosfera Bumi dan kembali ke Bumi disertai tiga orang lain: eksekutif Blue Origin, Audrey Powers, pengasas bersama Planet Labs Chris Boshuizen, dan Encik Glen de Vries dari Medidata Solutions.

Roket New Shepard itu berlepas dari pangkalan syarikat tersebut di barat Texas sekitar 9.49 pagi (10.49 malam waktu Singapura) setelah mengalami dua kelengahan singkat, sebelum akhirnya terbang 106 kilometer di atas paras laut.

Pengasas syarikat berkenaan, Jeff Bezos turut hadir untuk menyambut kepulangan anak kapal ketika mereka keluar dari kapsul, yang menggunakan payung terjun untuk mendarat di padang pasir, sambil disambut dengan tepukan gemuruh.

Seperti hampir 600 angkasawan sebelumnya, Encik Shatner kagum dengan pengalaman tanpa graviti dan pemandangan yang menakjubkan dari angkasa.

"Apa yang anda berikan kepada saya adalah pengalaman yang paling menakjubkan yang dapat saya bayangkan. Saya begitu penuh dengan emosi tentang apa yang baru saja berlaku," katanya sambil menitiskan air mata.

"Apa yang anda pandang adalah Bumi, dan ia perlu dilindungi," katanya kemudian kepada para wartawan.

- AFP/TQ/tq

Top