Images
  • kpop
    Penyanyi Jung Joon-Young. (Gambar: Starnews/AFP)

Bintang K-pop kedua undur dari dunia hiburan sebab skandal seks

SEOUL: Skandal seks K-pop yang menular kini melibatkan seorang lagi penyanyi yang menjadi popular selepas meraih tempat kedua dalam satu peraduan bakat yang terbesar di Korea Selatan.

Jung Joon-young, 30 tahun, merakam dirinya melakukan hubungan seks secara rahsia dan kemudian menyebarkan video tersebut.

Dia mengumumkan persaraannya dengan segera dari dunia hiburan di tengah-tengah dakwaan melakukan rakaman dan mengongsi imej bersifat seksual itu tanpa persetujuan pasangannya dalam video tersebut.

"Saya mengakui semua kesalahan saya," katanya.

"Saya merakam wanita-wanita itu tanpa persetujuan mereka dan menyebarkannya di ruang sembang, dan ketika saya melakukan demikian, saya tidak rasa bersalah," katanya dalam satu kenyataan pada hari Selasa (12 Mac).

Menurut agensi berita, Jung ialah salah satu daripada tiga artis lelaki yang terlibat di dalam ruang sembang berkumpulan yang beberapa ahlinya berkongsi video-video bersifat seksual melibatkan 10 orang wanita.

Penyanyi K-pop Seungri dari kumpulan BIGBANG yang mengumumkan persaraannya dari dunia hiburan pada hari Isnin (11 Mac) atas dakwaan melakukan jenayah seks-untuk-pelaburan, juga salah seorang anggota ruang sembang tersebut.

Sementara itu, agensi-agensi pengurusan mengancam untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang menyebarkan khabar angin palsu mengenai artis-artis mereka berhubung dengan video seks Jung.

"Ini satu khabar angin yang tidak berasas," menurut SM Entertainment selepas seorang ahli kumpulan lelaki EXO dituduh sebagai salah seorang peserta di dalam ruang sembang berkenaan.

"Kami akan mengambil semua tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang didapati menyalahi undang-undang (menulis, memuat naik dan menyebarkan khabar angin) tanpa ada belas kasihan," menurut agensi itu.

Sebelum ini, Jung pernah didakwa melakukan rakaman video seks tanpa persetujuan dan pengetahuan pasangannya pada tahun 2016. Namun, kes itu digugurkan oleh pihak pendakwa kerana kekurangan bukti selepas mangsa menarik balik tuduhannya itu.  

- AFP/CNA/IL/na

Top