Images
  • the rock
    Pelakon Dwayne Johnson, atau dikenali sebagai The Rock. (Gambar: Facebook / Dwayne The Rock Johnson)

Bintang Jumanji Dwayne Johnson pelakon berpendapatan paling tinggi di dunia

LOS ANGELES: Bintang filem aksi ‘Jumanji’ dan francais ‘Fast and Furious’iaitu Dwayne Johnson mengungguli senarai tahunan pelakon berpendapatan paling tinggi di dunia, lapor majalah Forbes pada Rabu (22 Ogos).

Bekas ahli gusti profesional yang hingga kini masih dikenali sebagai 'The Rock' meraih AS$89.4 juta (S$12.3 juta) sejak Jun 2018 hingga Jun lalu, menurut laporan Forbes itu.

Ia termasuk pendapatan dan keuntungan daripada filem, bayaran AS$700,000 (S$969,604 juta) bagi setiap episod siri HBO ‘Ballers’ dan royalti mencecah tujuh angka hasil menjadi duta jenama pakaian, kasut serta fon kepala bersama Under Armour.

Tahun lalu, Johnson berada di kedudukan kedua di belakang pelakon George Clooney, yang meraih keuntungan hasil daripada hasil penjualan syarikat tequila miliknya.

Kedudukan tertinggi seterusnya dalam senarai itu diraih dua pelakon filem ‘Avengers: Endgame,’ filem dengan kutipan tertinggi di dunia setakat ini, iaitu Chris Hemsworth dan Robert Downey Jr.

Chris Hemsworth, yang memainkan watak Thor meraih AS$76.4 juta (S$105.8 juta) manakala Iron Man lakonan Robert Downey Jr berjaya menduduki carta apabila memperoleh AS$66 juta (S$91 juta), menurut Forbes.

Bintang-bintang ‘Endgame’ lain seperti Bradley Cooper, Chris Evans dan Paul Rudd turut tersenarai sebagai 10 pelakon berpendapatan paling tinggi kali ini.

Sebahagian besar daripada pendapatan yang diraih Cooper, bagaimanapun, adalah hasil daripada kerja pengarahan, penerbitan, penulisan skrip dan lakonan beliau dalam filem muzikal ‘A Star is Born’ bersama Lady Gaga.

Cooper meraih pendapatan AS$40 juta (S$55 juta), daripada AS$57 juta (S$78 juta) hasil daripada filem berkenaan.

Pelakon Bollywood, Akshay Kumar, menduduki tempat keempat senarai dengan AS$65 juta (S$90 juta) diikuti pula dengan aktor serta artis seni bela diri terkenal Hong Kong, Jackie Chan, dengan AS$58 juta (S$80 juta). 

- REUTERS/FZ/fz

Top