Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Bintang Bollywood Deepika Padukone disoal dalam siasatan dadah

Polis India memanggil bintang Bollywood Deepika Padukone untuk disoal siasat pada Sabtu (26 Sep) berhubung siasatan dadah yang semakin meluas ekoran kematian pelakon Sushant Singh Rajput.

Anggaran Waktu Membaca:
Bintang Bollywood Deepika Padukone disoal dalam siasatan dadah

(Gambar: AFP/Samit Jadhav)

Diterbitkan : 26 Sep 2020 06:47PM Dikemas Kini : 26 Sep 2020 06:57PM

MUMBAI: Polis India memanggil bintang Bollywood Deepika Padukone untuk disoal siasat pada Sabtu (26 Sep) berhubung siasatan dadah yang semakin meluas ekoran kematian pelakon Sushant Singh Rajput.

Rajput ditemui mati di apartmennya pada Jun, langsung mencetuskan liputan meluas dengan pihak media membuat andaian bahawa bekas kekasihnya, pelakon Rhea Chakraborty, menjadi punca Rajput membunuh diri dengan mengambil dadah, selain dikatakan disihir dengan ilmu hitam oleh bekas kekasihnya itu.

Keluarga Rajput mempertikaikan laporan bahawa beliau menderita kemurungan dan secara terang-terangan menuduh Chakraborty, 28, mencuri wang dan mengganggu mendiang.

Chakraborty, yang menafikan sebarang salah laku dan bersama keluarganya telah berbulan-bulan diganggu media, ditahan awal bulan ini kerana didakwa membeli ganja untuk Rajput dan minggu ini. Pelakon itu juga tidak dibenarkan diikat jamin.

Saga itu kini berubah menjadi siasatan pihak berkuasa terhadap pengambilan dadah dalam industri bernilai berbilion-bilion dolar itu.

Padukone, 34, salah seorang bintang terbesar Bollywood, dipanggil awal minggu ini untuk memberi keterangan kepada Biro Kawalan Narkotik (NCB) di Mumbai, selain pelakon Sara Ali Khan, Shraddha Kapoor dan Rakul Preet Singh.

Kenyataan Singh dirakam pada Jumaat. Kapoor dan Khan juga dijangka dipanggil NCB pada Sabtu.

Awal minggu ini, saluran TV TimesNow menyiarkan sebahagian perbualan WhatsApp dua orang mengenai pembelian dadah, didakwa antara Padukone dan pengurusnya.

Sementara itu, Pengarah Karan Johar, yang juga menjadi sasaran saluran TV dan pengguna media sosial sejak kematian Rajput, mengeluarkan kenyataan pada Jumaat yang menolak dakwaan bahawa terdapat dadah di pesta yang dianjurkan di rumahnya tahun lalu.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan