Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Bill Cosby dibebaskan setelah mahkamah batalkan sabitan jenayah seksual

Pelakon komedi Amerika Syarikat, Bill Cosby, dibebaskan dari penjara pada Rabu (30 Jun) selepas mahkamah membatalkan sabitan kes memberi dadah dan melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita 17 tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Bill Cosby dibebaskan setelah mahkamah batalkan sabitan jenayah seksual

Pelakon komedi Bill Cosby ketika berada di luar rumahnya di Elkins Park, Pennsylvania, pada 30 Jun 2021 selepas dibebaskan dari penjara. (Gambar: Matt Slocum/AP)

Diterbitkan : 01 Jul 2021 10:52AM Dikemas Kini : 01 Jul 2021 10:53AM

NEW YORK: Pelakon komedi Amerika Syarikat, Bill Cosby, dibebaskan dari penjara pada Rabu (30 Jun) selepas mahkamah membatalkan sabitan kes memberi dadah dan melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita 17 tahun lalu.

Cosby, 83 tahun, menunjukkan tanda huruf V di luar rumahnya yang terletak berdekatan Philadelphia selepas keluar penjara berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Pennsylvania bahawa dia telah dinafikan perbicaraan yang adil. Pelakon itu tidak menjawab sebarang pertanyaan oleh para wartawan.

Cosby, yang merangkul anugerah Emmy melalui lakonan dalam 'I Spy' pada tahun 1960, disabit kesalahan pada 2018 kerana menyerang Andrea Constand di rumah agamnya di Philadelphia pada 2004.

Dalam keputusannya setebal 79 halaman, hakim berkata bahawa persetujuan untuk tidak mendakwa antara seorang bekas pendakwa raya daerah dengan Cosby berhubung bukti yang diberikannya dalam kes sivil bermaksud dia tidak seharusnya didakwa.

"Sabitan serta penghakiman hukuman terhadap Cosby dibatalkan dan dia dibebaskan," demikian menurut keputusan itu.

Jurucakap Jabatan Pemulihan Pennsylvania memberitahu AFP, Cosby, yang juga memegang peranan bapa dan doktor dalam siri TV terkenal 'The Cosby Show' pada tahun 1980-an, keluar penjara SCI Phoenix - sebuah penjara negara yang terletak 56 kilometar dari barat laut Philadelphia, tepat sebelum jam 2.30 petang.

Sabitan terhadap Cosby adalah yang pertama membabitkan seorang selebriti berhubung serangan seksual sejak timbulnya gerakan di seluruh dunia terhadap keganasan seksual dan penyalahgunaan kuasa yang dikenali sebagai gerakan #MeToo.

Individu yang mengemukakan tuduhan terhadap Cosby dan para penyokong gerakan itu meluahkan kemarahan atas pembebasannya.

Peguam Lisa Bloom berkata beliau dan ketiga-tiga anak guamnya yang mengemukakan tuduhan itu 'berasa jijik kerana Cosby kini seorang lelaki yang bebas'.

Cosby menjalani hukuman penjara lebih dua tahun daripada hukuman yang memperuntukkan tiga hingga sepuluh tahun dan sentiasa menegakkan pengakuan tidak bersalah.

Walaupun lebih 60 wanita mendakwa bahawa mereka adalah mangsa serangan seksual oleh Cosby, pelakon itu bagaimanapun hanya didakwa ke atas serangan terhadap Constand kerana kes-kes lain sudah melepasi tempoh mengikut peruntukan undang-undang.

Cosby menegaskan pertemuannya dengan Constand, yang pada masa itu adalah seorang pekerja di Universiti Temple, adalah atas dasar suka sama suka.  

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan