Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Biduan R. Ismail, 83 tahun, meninggal dunia

Penyanyi veteran Singapura R. Ismail meninggal dunia hari ini (13 Sep) di Hospital Besar Sengkang, akibat komplikasi jantung.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Penyanyi veteran Singapura R. Ismail meninggal dunia hari ini (13 Sep) di Hospital Besar Sengkang, akibat komplikasi jantung.

Khabar tersebut dimaklumkan oleh anak-anaknya Elfee Ismail dan Iskandar Ismail menerusi catatan di laman Facebook masing-masing pada sekitar 2.30 petang hari ini, dan disahkan kepada pihak BERITAmediacorp oleh pihak keluarganya.

BERITAmediacorp turut difahamkan Allahyarham R Ismail, 83 tahun, dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) baru-baru ini. Jenazah Allahyarham dibawa ke rumah anak sulungnya, Iskandar, di Choa Chu Kang dan akan dikebumikan pagi esok.

Gambar fail R. Ismail bersama anak-anaknya, Eiss dan Elfee. (Gambar ihsan: Esplanade - Theatres on the Bay)

R Ismail (tengah) bersama dua orang anaknya, Elfee dan Iskandar. (Gambar fail: Esplanade)

RAKAN ARTIS SAMPAIKAN UCAP TAKZIAH

Rakan-rakan artis seperti Rahimah Rahim, Kamaliah Latip, dan Mahani Mohammad Ali turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Memang kenangan manis itu banyak, daripada arwah mak masih ada, abang Mail memang rapat dengan kita. Dia anggap Kamaliah macam adiknya, kalau apa – apa Kamaliah dapat tunjuk ajar daripada arwahnya. Dia memang orang yang baik, sangat baik. Sabar," kongsi Kamaliah Latiff.

Rahimah Rahim pula berkongsi: "Arwah abang Mail adalah seperti macam keluarga dalam keluarga saya, sebab arwah dan bapak saya memang kawan baik jadi saya doakan semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh dia dan dia akan bersama dengan orang-orang yang beriman, Amin."

Ditanya apa yang paling dirindui tentang ayahnya, Iskandar - yang dikenali dengan panggilan Eiss - menjawab: "Banyak benda yang akan dirindui kerana masing – masing manusia ada bapa sendiri. Jadi, keunikan sebagai seorang bapa ini memang tak dapat kita balas.

"Ibu bapa kita semua ini, tidak dapat balas jasa mereka kerana daripada kecil mereka jaga kita sampai besar. Jadi, tak akan jadi yang sama lagi. Tapi kita berdoa yang baik sahaja," sambung beliau lagi penuh hiba ketika ditemui kru BERITAmediacorp di rumahnya petang tadi. 

SINONIM DENGAN 'GURINDAM JIWA', LAGU MALAR SEGAR

Biduan bersuara emas itu yang nama sebenarnya Ismail Abdul Rahman, sinonim dengan lagu-lagu malar segar seperti Gurindam Jiwa, yang nyanyiannya bersama Allahyarhamha Rafeah Buang turut diangkat menjadi lagu OST untuk filem dengan tajuk yang sama.

Semasa ditemui oleh BERITAmediacorp petang tadi, artis veteran Mahani Mohamad melahirkan harapan setelah pemergian Allahyarham R Ismail, akan ada di luar sana yang akan menyambung seni warisan lagu-lagu asli seperti itu.

"Saya harap dengan pemergian arwah ini, siapa-siapa selain daripada anak-anak dia sendiri, saya harap orang-orang luar di sana yang minat lagu-lagu asli atau minat lagu tradisional harap boleh teruskan warisan jadi tidak putus, patah tumbuh hilang berganti," kata beliau.

Allahyarham R Ismail sebelum ini pernah menetap di Kuala Lumpur, Malaysia selama sekitar sedekad sebelum kembali ke Singapura pada 2017.

(Gambar: Laman Esplanade)

(Gambar: Laman web Esplanade)

Antara penampilan Allahyarham di pentas besar sejak beberapa tahun lalu di sini adalah semasa konsert 'Gurindam Jiwa Satu Malam bersama R. Ismail' pada 2018, di mana beliau dijemput oleh pihak Esplanade untuk menjayakan persembahan tersebut dengan dua anaknya Elfie dan Eiss.

Allahyarham R Ismail mula menceburi bidang nyanyian semasa usianya lapan tahun bersama Radio Malaya, dan turut terkenal dengan lagu-lagu seperti Seri Mersing, Gelombang dan Laila Majnun.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, 10 anak dan 13 cucu.

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan