Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Benarkah muzik 'heavy metal' bermanfaat kepada kanak-kanak?

Jangan mudah berprasangka - muzik 'heavy metal' yang dianggap membingitkan oleh sesetengah orang nampaknya ada manfaat kesihatan dan emosi, menurut beberapa kajian.

Anggaran Waktu Membaca:
Benarkah muzik 'heavy metal' bermanfaat kepada kanak-kanak?

Kumpulan 'heavy metal' Iron Maiden di atas pentas semasa konsert jelajah pada 2011 (Gambar: John McMurtrie/Iron Maiden Holdings menerusi Facebook/Iron Maiden)

Diterbitkan : 03 Aug 2021 08:27PM Dikemas Kini : 03 Aug 2021 11:33PM

MALAYSIA: Secara amnya ibu bapa jarang sekali menyukai cita rasa muzik anak-anak mereka. Ini lebih-lebih lagi jika disebut tentang genre muzik seperti heavy metal dan rap, dengan lirik-liriknya kadangkala meluahkan kemarahan dan dianggap ganas.

Namun terdapat beberapa kajian yang mendapati mendengar muzik yang digemari - termasuk heavy metal dan rap - boleh membawa manfaat kepada golongan muda, lapor The Star.

Kajian yang dijalankan oleh sepasukan penyelidik dari Universiti Cardiff Metropolitan di United Kingdom, mendapati para individu yang mendengar muzik yang mereka gemari mengalami fungsi kognitif dan daya ingatan yang lebih baik. Sebaliknya, mendengar muzik yang tidak disukai boleh menyebabkan prestasi memori jangka pendek merosot, lapor The Star.

Para penyelidik dari Turki yang sedang merungkai kaitan antara muzik, tekanan dan keguguran rambut pula menjalankan tinjauan ke atas 1,540 responden yang mendengar pelbagai lagu di Spotify.

Genre yang paling melegakan tekanan adalah lagu pop 80-an, dengan para pendengar mencatat kadar degupan jantung yang merosot 36 peratus. 96 peratus pendengar juga melaporkan tekanan darah tinggi mereka merosot.

The Star menambah, pendengar heavy metal juga tidak jauh ketinggalan, dengan degupan jantung yang 18 peratus lebih perlahan dan 89 peratus mengalami tekanan darah tinggi yang lebih rendah.

Pendengar muzik tekno/elektronik pula menyaksikan degupan jantung merancak 7 peratus dan 78 peratus daripada mereka melaporkan paras tekanan darah mereka meningkat.

MUZIK DAN PERASAAN

Dalam satu kajian yang dijalankan di Sekolah Psikologi Universiti Queensland, para penyelidik yang mengkaji kesan "muzik yang keterlaluan" terhadap pendengar menghimpunkan sekumpulan peserta berusia 13 hingga 34 tahun yang biasa mendengar heavy metal.

Para pengkaji dengan sengaja mencetuskan rasa marah dalam kalangan peserta dalam satu sesi selama 16 minit.

Para peserta kemudian secara rambang disuruh mendengar lagu heavy metal pilihan mereka sendiri atau hanya setakat duduk dalam kesunyian selama 10 minit.

Hasilnya amat mengejutkan.

The Star melaporkan, heavy metal tidak membuat pendengar lebih marah, sebaliknya "menguatkan emosi positif", menukil penulis bersama kajian itu, Leah Sharman.

"Muzik itu membantu meneroka sepenuhnya emosi yang mereka rasakan, membuatkan mereka rasa lebih aktif dan berinspirasi," tambahnya.

MUZIK DAN TINGKAH LAKU

Kita semua tahu bahawa muzik boleh mempengaruhi perasaan kita dan membangkitkan pelbagai emosi seperti kegembiraan, kesedihan, cinta dan kemarahan. Namun, persoalan lebih besar adalah sama ada emosi tersebut boleh mencetuskan tingkah laku tertentu.

Berdasarkan kajiannya, Meng-Jinn Chen dan penyelidik lain dari Institut Pasifik bagi Kajian dan Penilaian mendapati bahawa golongan muda yang mendengar muzik techno dan reggae lebih cenderung daripada peminat muzik klasik atau pop untuk menyalahgunakan dadah.

Penyelidik Belanda, Juul Mulder, pula mendapati bahawa remaja perempuan yang lebih menggemari muzik rap lebih cenderung merokok, pemuda yang mendengar heavy metal kurang kecenderungan untuk merokok dan anak gadis pula kurang meminum arak.

Bagaimanapun, para penyelidik daripada kedua-dua kajian itu menegaskan bahawa tidak ada bukti yang menunjukkan muzik itu sebenarnya menyebabkan tingkah laku sedemikian.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan