Images

BELASUNGKAWA: Rakan-rakan artis kenang kebaikan pelawak Zainal Ihim

BERITAmediacorp: Jenazah pelawak Zainal Ihim dikebumikan hari ini (19 Jan). Pemergiannya yang tidak disangka-sangka itu cukup diratapi rakan-rakan artis dan seni.

Semasa BERITAmediacorp menghubungi rakan-rakan lawak Allahyarham untuk mendapatkan ulasan, hanya kata-kata baik mereka berikan untuk Zainal bagi mengenang perawakannya di atas dan luar pentas.

Allahyarham Zainal, 62 tahun, meninggal dunia sekitar pukul 3.15 petang Isnin (18 Jan) akibat jangkitan paru-paru setelah terlantar sakit di Hospital Ng Teng Fong selama 40 hari, sejak 10 Disember 2020.


Allahyarham Zainal Ihim. (Gambar: Mediacorp Suria)

Khabar duka itu disahkan sendiri oleh adik Allahyarham, Zaini Ihim, kepada BERITAmediacorp.

Allahyarham, anak ketiga daripada 10 beradik, meninggalkan seorang anak perempuan.

PEMERGIAN IBARAT "KEHILANGAN KHAZANAH"

Salah seorang rakan Allahyarham, pelawak Husin Saaban, menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai "kehilangan satu khazanah".

"Kita rasa sangat kehilangan. Sangat kehilangan pasal ini khazanah. Khazanah yang susah kita nak dapatkan balik. Sakit yang dia terima ini mendadak. Dia tak ada tanda-tanda yang dia sakit dan sebagainya. Itu yang macam tak boleh terima, macam tak percaya," kata Husin.


(Gambar: Husin Saaban)

Husin berkata, beliau dan Allahyarham sepatutnya mengadakan persembahan atas kapal pesiaran Royal Albatross sempena hari cuti Krismas pada 25 Disember 2020. Namun, terpaksa membatalkannya disebabkan kesihatan Allahyarham yang tidak mengizinkan.

Pun begitu, semangatnya kekal tinggi untuk memenuhi tuntutan kerja tersebut meski tubuhnya tidak mampu.

"Kami buat video promosi tetapi belum sempat naik kapal sekali dia masuk hospital. Dia sakit pun dia cakap masih nak pergi (kerja). Saya cakap tak apalah, 'kalau kau keluar hospital, kau duduk aja, biar aku buat kerja'. Dia masih ghairah nak sertai kami di kapal persiaran itu. Tapi itu pun tak dapat juga," cerita Husin lagi.


(Gambar: Husin Saaban)

Mengenang rakan pelawak yang sudah dikenali hampir 35 tahun, Husin berkata Allahyarham adalah seorang yang "sangat baik" dan "tidak berkira".

"Bagi saya, dia orang yang senang ajak berunding. Orang yang sabar, tidak berkira pasal harga bayaran. Sangat disiplin. senang buat kerja dengan dia. Sangat baik," kata Husin.

BAKI DERMA PROJEK KAMI PEDULI DISERAH KEPADA KELUARGA ALLAHYARHAM ESOK

Kali terakhir beliau berjumpa dengan Allahyarham adalah di hospital semasa menyerahkan wang yang dikumpulkan daripada sebuah projek jualan amal untuk membantu keluarga Allahyarham menanggung kos rawatan.

"Masa di ICU kita datang bawa duit daripada projek Kami Peduli. Kasi duit pada keluarga dialah. Kita berbual dengan dia, walau dia dalam keadaan sesak nafas masih dapat berbual," ujar beliau.

Husin menambah, dalam tempoh dua hari ini, beliau masih menerima sumbangan daripada peminat dan rakan-rakan industri. Sehingga hari ini, beliau menerima sekitar $2,000 dan merancang untuk menyerahkan kesemuanya kepada keluarga Allahyarham "mungkin hari ini (19 Jan)".

PELAKON BANGSAWAN SEBELUM JADI PELAWAK

Allahyarham mula bergiat aktif dalam bidang seni sejak awal tahun 1980-an lagi, bersama kumpulan Sriwana. Sebelum dikenali sebagai pelawak, Allahyarham sering berlakon drama-drama bangsawan. Salah satu drama bangsawan yang pernah dilakonkannya adalah Henofifah pada tahun 1989.

Beliau kemudian mula berlakon dalam drama jenaka bangsawan seperti Dewi Mambang (1983) dan Syamsir Alam (1990).


(Gambar: M Saffri A Manaf)

Pengarah dan penulis skripnya, M Saffri A Manaf, berkata, beliau cenderung memilih Allahyarham untuk berlakon dalam drama yang ditulisnya kerana Allahyarham mempunyai ciri tersendiri dan begitu spontan.

"Bagi saya pementasan perlukan orang yang memang komedi, spontan. Sebab untuk drama pentas ke, tv ke, kelebihan tersendiri itu memang ada pada dia.

"Sebuah pementasan tak akan jadi, walau macam mana bagus sekalipun pentasnya, kalau kita salah pilih pelakon, dia tak dapat hidupkan watak yang diberikan. Kelebihan arwah, dia ada dari segi percakapannya dan sebagainya. Jadi kita tak perlu beri banyak arahan," jelas M Saffri kepada BERITAmediacorp.


(Gambar: M Saffri A Manaf)

Beliau menambah, bakat Allahyarham itu memang tiada gantinya. Menurut M Saffri lagi, Allahyarham kadangkala memanggilnya sebagai 'xifu' apabila mereka berhubung menerusi laman Facebook dan telefon.

"Kadang di telefon dia panggil saya xifu. Kalau telefon saya, dia selalu cakap saya perkenalkan dia dalam industri. Saya juga berterima kasih kepada Allahyarham kerana banyak menghidupkan jenaka-jenaka bangsawan saya atau drama-drama komedi saya di pentas," kata M Saffri.

PATAH TUMBUH "TAK AKAN BERGANTI", KATA ARIFF ISA

Salah seorang rakan karib Allahyarham, Ariff Isa, pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang "happy go lucky".

"Orangnya periang. Dia suka berjenaka. 'Happy go lucky'. Walaupun dia sakit, dia tak tunjukkan kepada orang yang dia sakit. Semangat dia kuat," kata beliau, yang sudah bersahabat dengan Allahyarham hampir 20 tahun.


Kumpulan lawak Seloka. Dari kiri: Allahyarham Zainal Ihim, Sahfudin Mahfuz dan Ariff Isa. (Gambar: Ariff Isa)

Ariff menambah, beliau memang tidak menyangka Allahyarham akan pergi. Namun beliau hanya mampu kuatkan semangat kerana "Tuhan dah sayang dia".

"Orang kata patah tumbuh hilang berganti. Tapi kita tidak akan dapat penggantinya (Allahyarham). Ini satu tamparan hebat tapi memandangkan kita kawan, kita doakan dia dimasukkan dalam kalangan ahli syurga," ujar Ariff.


​Kumpulan lawak Seloka. Dari kiri: Sahfudin Mahfuz, Allahyarham Zainal Ihim dan Ariff Isa. (Gambar: Ariff Isa)

HANYA TINGGAL KENANGAN MANIS

Seorang lagi rakan artis Allahyarham, Yusoff Maruwi, sudah mengikuti perkembangan kesihatan Allahyarham sejak pertama kali dimasukkan ke hospital.

Jadi, sebaik diberitahu tentang pemergian Allahyarham beliau amat bersedih.

"Amat sedih pastinya dek doa yang dipanjatkan kepada seorang yang bukan kawan seni saja malah lebih dari itu tidak terkabul, lantaran Allah SWT lebih menyayangi beliau," Yusoff memberitahu BERITAmediacorp.


(Gambar: Yusoff Maruwi)

Kali terakhir beliau membuat persembahan bersama Allahyarham adalah pada 7 November 2020.

Bagi beliau, yang sudah mengenali Allahyarham lebih 30 tahun lamanya, kini hanya tinggal kenangan manis yang tersemat kemas di hatinya.

"Kenangan manis kiranya banyak juga. Sebagai pelakon/pelawak lain, sebagai kawan luar bidang seni lain. Kehilangannya bak hilang sebutir mutiara yang berharga," ujar Yusoff. 


(Gambar: Yusoff Maruwi)

Allahyarham sudah berkecimpung lebih 40 tahun dan aktif dalam pelbagai pementasan dan rancangan komedi. Pelibatan terakhir Allahyarham adalah rancangan Fiesta Komedi dalam episode ketiga 'Tersalah Firasat' yang boleh ditonton di meWATCH.

- BERITAmediacorp/nk

Top