Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Bekas vokalis kumpulan XPDC kini rajin berdakwah

Mohd Ali Ismail, atau lebih mesra disapa Ali, iaitu bekas penyanyi kumpulan XPDC meninggalkan zaman glamour berkecimpung dalam muzik rock untuk menjalani kehidupan yang boleh membantu beliau memahami erti kewujudan dirinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas vokalis kumpulan XPDC kini rajin berdakwah

Bekas vokalis XPDC, Mohd Ali Ismail. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 22 May 2019 11:35PM Dikemas Kini : 22 May 2019 11:38PM

NEW DELHI: Mohd Ali Ismail, atau lebih mesra disapa Ali, iaitu bekas penyanyi kumpulan XPDC meninggalkan zaman glamour berkecimpung dalam muzik rock untuk menjalani kehidupan yang boleh membantu beliau memahami erti kewujudan dirinya.

Vokalis terkenal itu kini memiliki pandangan hidup yang berbeza dan sentiasa kagum dengan nilai-nilai dalam ajaran Islam.

Ali ditemui semasa satu majlis berbuka puasa di New Delhi, India, baru-baru ini di mana beliau membuka cerita tentang perubahan hidup serta usaha dakwahnya.

Semasa di majlis jamuan itu, beliau kelihatan tidak canggung untuk berkongsi makanan dengan lebih 100 orang yang kebanyakannya rakyat Malaysia, memberikan ceramah Ramadan serta beraksi apabila diminta bergambar.

PERNAH RASA KEHILANGAN?

Apabila ditanya tentang perubahan diri beliau, penyanyi berusia 50 tahun itu berkata menyampaikan dakwah mengenai ajaran Islam sudah banyak memberikan ketenangan serta nilai sebenar dalam kehidupannya.

"Hidup saya menjadi lebih mudah, ada tumpuan dan saya berasa lebih tenang. Menyeru orang lain untuk mengenali agama Islam membuatkan saya berasa bahawa saya telah memenuhi kewajipan saya," ungkap beliau.

Adakah beliau berasa kehilangan apa-apa yang dinikmatinya sewaktu masih bergelar bintang muzik popular suatu ketika dahulu?

"Saya tidak pernah berasa kehilangan apa-apa. Ia harus menjadi matlamat kita sebagai umat Islam untuk menyebarkan keamanan, persaudaraan dan keharmonian dalam masyarakat. Saya melakukannya menerusi dakwah. Kejayaan sebenar dalam hidup datangnya selepas menjalankan perintah Allah dan menjauhi apa yang dilarang," ujar Ali tegas.

"Tidak kisahlah apa status kuasa atau jawatan kita, semuanya tidak berguna jika kita tidak hidup mengikut lunas-lunas Islam. Saya berpegang teguh kepada ungkapan 'Dunia Sementara, Akhirat Selamanya'," tambah beliau lanjut.

Ceramah Ramadan Ali diiringi nyanyian berunsur keagamaan yang turut membuktikan bahawa kemahiran vokalnya tetap mantap.

Para peminat setia beliau menyambut kehadirannya dengan tepukan gemuruh namun Ali lebih suka jika mereka menyertai beliau dalam melakukan usaha dakwah seperti yang dilakukannya pada masa ini.

"Saya mahu mereka mendengar mesej dakwah yang ingin saya sampaikan," katanya.

CURAH, TIMBA ILMU PADA MASA SAMA

Empat lagi anggota kumpulan rock XPDC yang popular di Malaysia pada tahun 1990-an turut menyertai Ali berdakwah.

Sebelum ini, Ali pernah dikaitkan dengan sebuah lagi kumpulan rock yang dikenali sebagai Terra Rossa.

Beliau berkata apa yang dilakukannya sekarang bukanlah hanya sekadar memberikan ceramah tetapi sebaliknya juga berkongsi apa yang beliau tahu dan, pada masa yang sama, menimba ilmu daripada orang lain.

Semangat itu membawa Ali terbang ke India dan minat beliau untuk mendalami Islam dizahirkan dengan bertemu orang yang berbeza.

"Apa jua kerja yang kita lakukan, adalah penting untuk mengingatkan diri kita bahawa kehidupan di dunia adalah sementara.

"Kita perlu mengikuti ajaran Islam dengan menyeru orang lain ke arah kebaikan dan mempelajari sunnah (cara Nabi Muhammad)," nasihat Ali menutup bicara. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan