Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Bekas pelakon ‘Anak Metropolitan’ Norseha Sani kini peniaga jagung

Suatu ketika dahulu lakonan beliau sebagai ‘Mummy Ruby’ untuk drama tempatan Anak Metropolitan begitu berkesan sehingga penonton sentiasa mengaitkan nama Norseha Sani dengan drama tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Suatu ketika dahulu lakonan beliau sebagai ‘Mummy Ruby’ untuk drama tempatan Anak Metropolitan begitu berkesan sehingga penonton sentiasa mengaitkan nama Norseha Sani dengan drama tersebut.

Ketika itu, Norseha berusia 20 tahun dan masih menuntut di politeknik

Namun namanya kemudian hilang dari radar.

Rupa-rupanya, sewaktu Norseha ‘hilang’, beliau secara rasmi menjadi suri rumahtangga sepenuh masa. Norseha sempat juga berjinak-jinak dengan dunia perniagaan secara kecil-kecilan baru-baru ini menjual jagung bakar istimewa. Mengapa jagung tanya BERITAmediacorp kepadanya?

“Selalu tengok ‘food channel’. Saya pun suka makan jagong, kalau pergi bazar di Johor mesti nak cari jagung. Bila pergi Bali untuk bulan madu pada tahun 2013 dulu saya cuma ingat jagung bakar. Di Singapura susah nak cari gerai jual jagung,” terangnya.

Sekiranya ada jagung dijual di sini pun, hanya jagung tanpa perisa.

Ternyata, percubaan menjual jagung di Suntec City baru-baru ini bersama suaminya mendapat sambutan luar biasa baru-baru ini sehingga 600 batang jagung laris terjual dalam masa tiga hari sahaja.

Untuk percubaan pertama, beliau memborong 900 batang jagung sebenarnya namun harus juga menyimpan stok untuk tempahan secara online.

Terdapat dua pilihan JAGONG yang boleh dibeli iaitu jagung bakar dengan keju, coklat dan susu. Untuk anda yang gemar dengan jagung pedas, boleh mencuba “jagung pedas manes” yang beliau sifatkan sebagai “pedas manja” diperah dengan limau manis yang membuat jagung tersebut lebih sedap lagi.

Strategi Norseha adalah untuk mengehadkan hanya 150 hingga 200 batang jagung sahaja yang boleh dijual setiap hari.

Beliau memperluaskan lagi skop perniagaan jagung dengan kini mengambil tempahan secara online di JAGONG.SG untuk penghantaran ke rumah. Terangnya:

“Penghantaran hanya bila ada stok jagung. Kita tak boleh janji boleh buat setiap minggu. Tengok stok jagong elok ke tidak dan buat pemeriksaan QC (kawalan mutu) jugak.”
Rezeki bisnis jagung tersebut semakin bertambah apabila beliau mendapat beberapa undangan untuk membuka gerai di tempat lain pula.

Beliau rasa seronok juga kerana masih ramai yang mengingatinya. Apabila pembeli mendekati gerai Norseha, mereka akan bertanya kepadanya apakah beliau Norseha dari drama tersebut.

“Bila dah dekat mereka kata you yang jadi Mummy Ruby? You pernah berlakon kan? Ya Allah, masih melekat jugak nama Mummy Ruby itu. Ingatkan dah dikikis. Tapi tak bolehlah. Seha reda jadi kak long kawasan jual jagung,” kongsinya kepada BERITAmediacorp.

Sehingga kini, wanita ceria itu masih didekati oleh syarikat produksi drama yang ingin Norseha berlakon untuk sesebuah penerbitan. Bukan menolak rezeki tetapi beliau akur harus utamakan penjagaan anak-anak yang masih kecil.

Tidakkah beliau rindu dengan dunia lakonan, tanya kami kepadanya?

Norseha menjelaskan beliau sebenarnya adalah penari Sriwana sejak dahulu lagi. Apabila diberi peluang untuk berlakon ketika beliau masih menuntut, beliau menerimanya kerana ingin mencuba-cuba sahaja. Namun, sekiranya diminta memilih antara berlakon atau tarian, Norseha tetap akan memilih tarian.

Sambungnya jujur: “Kalau ada peluang berlakon ok. Kalau tidak ada Seha tak rasa apa-apa tapi kalau tarian tu ada rasa (rindu). Seni menari itu lebih dalam dari berlakon sebenarnya.”

Beliau berharap agar perniagaan JAGONG.Sg tersebut akan menjadi lebih terkenal bukan sahaja di kalangan orang Melayu. Katanya:

“Manalah tahu kita boleh buka gerai di Malaysia sebab kita nak tonjolkan produk kita dari Singapura. Kami ingin juga memperluaskan perniagaan kami untuk majlis perkahwinan dan kenduri-kendara. Kalau kita dapat sokongan dari mereka di luar sana Alhamdulilah.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan