Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Barisan selebriti bantu golongan susah, 'lelong' barang di bazar Ramadan

Kelibat para selebriti 'melelongkan' produk-produk jualan mereka di bazar Ramadan bukan lagi satu perkara yang janggal dilihat.

Anggaran Waktu Membaca:
Barisan selebriti bantu golongan susah, 'lelong' barang di bazar Ramadan

Suasana di bazar Ramadan di luar kawasan pusat beli-belah Angsana, Johor Bahru. (Gambar hiasan: BERITAMediacorp)

Diterbitkan : 26 Apr 2019 11:07PM Dikemas Kini : 26 Apr 2019 11:10PM

PUCHONG: Kelibat para selebriti 'melelongkan' produk-produk jualan mereka di bazar Ramadan bukan lagi satu perkara yang janggal dilihat.

Bahkan, ia kian menjadi kelaziman buat para artis untuk mencari rezeki sampingan dengan berniaga pada bulan suci itu.

Begitulah juga bagi Ramadan kali ini yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Menurut Astro Awani, beberapa artis popular Malaysia bakal 'berkampung' buat sebulan sepanjang bulan puasa nanti di Karnival Ramadan Putrajaya mulai 1 Mei nanti.

Barisan selebriti yang sudahpun mengesahkan tempahan gerai termasuklah Ella, XPDC, Siti Sarah, Shuib, Azharina dan Tasha Shila.

Menurut penganjur bersama acara, Abdul Ajib Mohd Zein, pelbagai acara menarik turut diatur bagi pengunjung bazar Ramadan di Karnival berkenaan.

“Tahun ini ramai artis terkenal yang turut sama berniaga di tapak bazar ini di Putrajaya memandangkan lokasi ini adalah antara yang paling mendapat sambutan setiap kali bulan puasa.

"Malah tahun ini, lebih meriah kerana ada di kalangan artis-artis akan turut menghiburkan pengunjung dengan mengadakan busking dan sebagainya," kata beliau kepada Astro.

HASIL JUALAN DISALURKAN KEPADA ANAK YATIM, MADRASAH

Jelasnya, ia bukanlah satu acara untuk mengutip keuntungan semata-mata karana hasil jualan mereka nanti akan juga disalurkan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

“Artis-artis yang berniaga nanti juga akan terlibat dengan program-program amal di mana hasil jualan mereka turut akan disalurkan kepada beberapa madrasah dan anak-anak yatim yang kita kenal pasti di sekitar Putrajaya.

"Kita juga akan mengadakan Festival Islamik terbesar dalam Putrajaya di mana akan ada program infa’, kita akan agihkan bubur lambuk kepada anak-anak yatim dan juga kepada pengujung," ujar Encik Abdul Ajib lagi.

Agihan duit raya kepada anak yatim juga akan diadakan di penghujung Karnival itu nanti, lapor Astro Awani.

Sementara itu, bagi anggota kugiran XPDC, mereka turut mengambil kesempatan tersebut untuk mendekati para peminat selain mengadakan persembahan busking dan berniaga. Namun dalam masa yang sam, akan turut membantu mereka yang memerlukan.

“Kita bukan sahaja berniaga di tapak itu nanti tetapi ada bahagian hasil jualan yang kita mampu hulurkan kepada orang yang kurang bernasib baik untuk menyambut kehadiran Syawal.

"Ini adalah salah satu cara kami untuk turut sama membantu dan ia bukanlah keuntungan semata-mata,” kata pemain bass XPDC Zuar seperti ditukil Astro Awani.

Karnival tersebut akan berlangsung sehingga 5 Jun di tapak festival di Dataran Putrajaya, Persint 3 Putrajaya. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan