Images
  • baby shima
    Penyanyi Malaysia, Baby Shima. (Gambar: Baby Shima/Instagram)

Baby Shima nafi terlibat dalam pelacuran online; beri amaran kepada penyebar fitnah

KUALA LUMPUR: Penyanyi Malaysia Baby Shima melahirkan kekecewaan setelah mendapat tahu namanya tersenarai dalam skandal pelacuran yang membabitkan selebriti di Indonesia.

Malah gambar beliau juga disalahgunakan dalam laporan salah sebuah rancangan hiburan di Indonesia berhubung kes selebriti yang terlibat dalam kegiatan pelacuran dalam talian, lapor Astro Awani.

Insiden itu sekaligus menimbulkan salah faham dalam kalangan peminatnya, menyebabkannya menjadi bahan perbualan baru-baru ini.

Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 27 tahun, dengan tegas menafikan dakwaan terlibat dalam kegiatan pelacuran yang ditawarkan menerusi wadah online.

"Hanya tuhan saja yang tahu betapa sakitnya hati saya. Kesal yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kenapa sampai begini sekali nama saya dicemari?" kata Baby Shima semasa dihubungi oleh Astro Awani pada Jumaat (18 Jan).

"Kenapa mereka yang mendakwa saya terlibat dalam skandal pelacuran ini melakukan kaji selidik dahulu? Mengapa semudah itu mengheret nama saya? Saya benar-benar tidak faham apa motif mereka."

Menurut laporan Astro Awani, penyanyi berkenaan kini berada di Jakarta, Indonesia bagi bertemu dengan pihak media demi menjernihkan kembali nama baiknya.

Sehubungan dengan itu, Baby Shima turut memberi amaran kepada para penyebar fitnah supaya jangan sesekali mempermainkan maruahnya, sambil menekankan beliau melibatkan diri dalam bidang seni untuk mencari rezeki dan bukan melakukan perkara yang tidak elok.

Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini mendedahkan nama enam artis wanita yang didakwa terlibat dalam kegiatan pelacuran online, lapor Sinar Harian. Mereka adalah Maulia Lestari, Fatya Ginanjarsari, Riri Febianti, Aldira Chena, Tiara Permata Sari dan Baby Shu yang disalah anggap sebagai Baby Shima.

Pada awal bulan ini juga, dua artis negara itu - Vanessa Angel dan Avriella Shaqqila - ditahan kerana didakwa terlibat dalam kegiatan tersebut. Pihak berkuasa kemudian mendedahkan bahawa berpuluh-puluh artis terlibat dalam kegiatan tersebut dengan mengenakan bayaran antara 25 juta rupiah (S$2,410) hingga 300 juta rupiah (S$28,960).

Selain pelakon filem, sekitar 100 peragawati tempatan turut terlibat dalam kegiatan pelacuran online itu. 

- Agensi berita/AI/ai

Top