Images
  • Awie
    Awie. (Gambar: Awie Official/Instagram)

Awie ulang-alik ke Indonesia, berubat setelah alami gangguan misteri

KUALA LUMPUR: Satu kejadian ngeri menimpa vokalis kugiran Wings, Awie. Penyanyi itu mengalami gangguan misteri sehingga terkena penyakit busung, lapor Astro Gempak.

Namun begitu, perjumpaan beliau bersama doktor mengesahkan dirinya tidak mempunyai sebarang penyakit. Lantaran itu, Awie berkongsi kepada Astro Gempak bahawa beliau terpaksa berulang-alik ke Indonesia untuk menjalani rawatan alternatif.

“Saya sendiri pelik apabila tiba-tiba jatuh sakit selepas pulang daripada mengerjakan umrah pada tahun lalu.

"Perut saya tiba-tiba membusung dan saya ada menjalani (rawatan) hospital kerana ia terlalu sakit," cerita Awie.

“Pada masa itu, saya reda apabila doktor memberitahu saya disyaki menghidap kanser usus.

"Bagaimanapun selepas ujian klinikal kedua, selepas sampel dihantar ke makmal perubatan di Melbourne, Australia, doktor kata tiada tanda kanser pada bahagian tersebut," kongsinya.

“Selain busung, ada lagi perkara mistik berlaku dan itu yang menyebabkan saya mengambil keputusan bertemu beberapa pengamal perubatan di utara dan selatan tanah air termasuk Indonesia,” ujar Awie lanjut.

Beliau berkata semasa proses perubatan bersama seorang kiai di Indonesia, tiga ekor lintah keluar melalui pusat. Susuli itu, rasa sakit yang dialaminya semakin berkurangan sehingga ke hari ini.

“Macam tak percaya, kan? Tapi itulah yang berlaku.

"Saya pun tidak tahulah bila semua ini akan berakhir.

"Saya cuma berharap agar selepas ini saya kembali sihat dan tidak sakit lagi kerana saya perlu bersedia untuk konsert solo tahun hadapan,” luahnya kepada Astro Gempak.

Beliau menambah dirinya seringkali diuji dengan pelbagai masalah kesihatan dan penyakit setiap kali mahu mengadakan konsert berskala besar.

“Saya juga terpaksa berulang-alik dan keluar masuk ke hospital kerana masalah kaki bengkak menjelang konsert besar sebelum ini,” dedahnya semasa sidang media Konsert Romantika yang berlangsung di Flora Terrace, Kuala Lumpur, pada Khamis (29 Ogos).

Sungguhpun diduga, beliau tidak putus berdoa agar keadaan kesihatannya beransur pulih untuk menjayakan Konsert Romantika pada 15 Februari tahun depan.

Konsert Romantika Awie itu meraikan ulang tahun ke-25 pelibatannya sebagai artis solo. Ia bakal berlangsung pada jam 8.00 malam di Stadium Malawati Shah Alam. 

- Agensi berita/FZ/fz

Top