Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Awie mahu bukukan pengalaman hidup

Awie berkata tiada rahsia yang disembunyikan, sebaliknya segala peristiwa yang berlaku sepanjang pendakian hingga namanya dikenali ramai bakal mengisi buku itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Awie mahu bukukan pengalaman hidup

Awie. (Gambar: Awie Official/Instagram)

Diterbitkan : 03 Sep 2019 05:31PM Dikemas Kini : 03 Sep 2019 05:33PM

KUALA LUMPUR: Penyanyi rok Malaysia Awie bersedia membukukan pengalaman pahit manis selama lebih tiga dekad sebagai pejuang seni bagi memberi iktibar kepada masyarakat.

Awie berkata tiada rahsia yang disembunyikan, sebaliknya segala peristiwa yang berlaku sepanjang pendakian hingga namanya dikenali ramai bakal mengisi buku itu.

“Saya sudah bertemu seorang penulis untuk memulakan projek itu beberapa tahun lalu, tetapi terpaksa dihentikan selepas syarikat yang berminat menerbitkan buku itu ditutup. Jika ada penulis yang sedia melaksanakan misi ini, saya sanggup bekerjasama kerana banyak kisah pahit manis yang saya belum kongsi kepada umum.

“Semuanya akan saya ceritakan, namun ia hanya berkaitan diri sendiri. Saya tidak akan membuka aib individu lain yang pernah ada dalam hidup dan kerjaya saya. Ia bukan biografi, sebaliknya lebih kepada penceritaan berbentuk fakta berdasarkan perjalanan hidup saya sebagai anak seni dan insan biasa,” katanya kepada agensi Berita Harian Malaysia.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 51 tahun, menceburi industri muzik pada 1985 bersama Syam (gitar utama), Baharim (gitar), Zul (bass) dan Jojet (dram) dengan menubuhkan Wings.

Populariti Wings meledak selepas menghasilkan album, Belenggu Irama yang mendapat sentuhan komposer dan penulis lirik hebat, termasuk M Nasir, JS Kevin dan Bob Lokman.

Dalam pembikinan album sulung itu, perubahan anggota turut berlaku apabila Eddie menggantikan tempat Zul, manakala Black pula mengambil tempat Jojet.

Perubahan anggota sesebuah kumpulan muzik itu lumrah, namun pengunduran Awie selepas album kelima, Bazooka Panaka sekitar 1993 memberi kesan besar.

Sementara itu, Berita Harian Malaysia menukil Awie sebagai berkata, konsert yang bakal diadakan pada 15 Februari depan nanti sempena meraikan sambutan jubli perak kerjayanya sebagai penyanyi solo.

Konsert mega berkonsep teater itu turut mengundang beberapa rakan seperjuangan, termasuk penyanyi Indonesia.

“Setakat ini, antara nama dalam senarai, termasuk Erra Fazira, Ziana Zain, Siti Nurhaliza dan artis Indonesia. Tetapi, ia masih dalam perbincangan kerana perlu diselaraskan mengikut kesesuaian tema,” katanya kepada Berita Harian Malaysia.

Sumber : Agensi berita/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan