Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Awi Rafael tawar terapi muzik bagi kanak-kanak autisme

Artis berusia 32 tahun yang popular menerusi lagu ‘Bila Aku Jatuh Cinta´ menawarkan khidmat terapi muzik buat kanak-kanak autisme.

Anggaran Waktu Membaca:
Awi Rafael tawar terapi muzik bagi kanak-kanak autisme

Artis kelahiran Singapura Awi Rafael. (Gambar: Warner Music Malaysia)

Diterbitkan : 28 May 2019 03:30PM Dikemas Kini : 28 May 2019 03:43PM

KUALA LUMPUR: Berhadapan dengan kanak-kanak autisme bukanlah sesuatu yang mudah seperti dengan kanak-kanak biasa, dan seringkali akan kedengaran keluhan daripada ibu-bapa dan guru-guru dalam menguruskan mereka.

Namun pelbagai cara, teknik dan terapi sering digunakan ketika bersama kanak-kanak istimewa ini, terutamanya pada sesi pembelajaran mereka, termasuklah menggunakan terapi muzik.

Terpanggil dengan kelebihan terapi muzik yang dapat membantu mengembangkan potensi kanak-kanak autisme, Awi Rafael merasakan dengan kemampuan, bakat dan kebolehan yang dimiliki, beliau mampu melakukan sesuatu untuk membantu.

Sebab itulah artis berusia 32 tahun yang popular menerusi lagu ‘Bila Aku Jatuh Cinta´ itu, menawarkan khidmat terapi muzik buat kanak-kanak autisme.

"Melalui bacaan dan penyelidikan yang saya lakukan, terapi muzik didapati mampu mengembangkan potensi kanak-kanak autisme, terutama ketika berinteraksi dengan masyarakat. Ia adalah alternatif bagi rawatan moden, malah keberkesanan kaedah ini telahpun terbukti. Saya percaya dan yakin muzik dapat membantu penghidap autisme," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Awi berkata, dengan bantuan Persatuan Terapi Muzik Malaysia, beliau akan memanfaatkan muzik, sebagai satu alat komunikasi untuk menarik perhatian mereka.

"Buat masa ini, saya mempunyai enam kanak-kanak autisme yang sedang mengikut terapi muzik ini. Saya bertuah kerana dibantu guru-guru terlatih daripada persatuan ini, untuk melakukan terapi muzik kepada anak-anak istimewa ini,” katanya.

Jelas Awi, terapi muzik buat kanak-kanak autisme ini juga merupakan projek istimewa di bawah akademi muziknya, yang bakal dilancarkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Katanya, akademi muzik yang diusahakan bersama pelakon popular, Aiman Hakim Redza itu menyasarkan peminat muzik daripada golongan berpendapatan rendah untuk belajar muzik, selain mengadakan program terapi muzik bagi kanak-kanak istimewa tersebut. 

Sumber : Bernama/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan