Images
  • Awi Atikah
    Awi Rafael tidak jadi bernikah dengan Atikah Suhaime. (Gambar: Instagram/awirafael/therealatikahsuhaime)

Awi Rafael "tarik diri", tidak jadi nikah Atikah Suhaime

SINGAPURA: Pasangan selebriti dari Singapura, Awi Rafael dan Atikah Suhaime tidak jadi bernikah.

Awi mengumumkan beliau dan keluarganya "tarik diri" daripada berkahwin, menerusi sebuah video yang dimuat naik ke laman media sosial hari ini (14 Mac).

Ini agak mengejutkan memandangkan pasangan itu sepatutnya melangsungkan pernikahan mereka Ahad ini (17 Mac).

Tanpa mengulas lanjut, Awi setakat mengatakan beliau hanya mengetahui “kisah-kisah sebenar” pada saat-saat akhir.

“Ada banyak benda yang harus kita selesaikan semenjak awal lagi. Namun pada saat-saat akhir ini barulah kita tahu kisah-kisah yang sebenar.

"Keluarga Awi memerlukan waktu untuk memikirkan cara yang terbaik untuk menangani dugaan ini. Namun untuk Awi, Awi harus tetap fokus pada ibu Awi dan nasihat dia dan juga untuk Atikah dan pihak keluarga dia,” katanya.

Dalam catatan yang disertakan sekali pada video yang dimuat naik itu, Awi berkata beliau sudah mencuba sebaik mungkin untuk Atikah.


Awi Rafael dan Atikah Suhaime di majlis pertunangan mereka. (Gambar: @qashrulhidafiphotography/Instagram/Awi Rafael)

Malah segala persiapan bagi majlis mereka hujung minggu ini juga sudah pun siap.

“Niat di hati adalah untuk membina masjid, menutup aib dia yang dulu dan membawa dia ke jalan Tuhan bersama ke arah hidup baru. Kerana itu Awi tawakkal dan terus tunang sejak tahun lalu.

“Namun Awi juga mempunyai ibu dan maruah keluarga. Terlalu berat dugaan baru kali ini,” tambah beliau.

Awi juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan kepada beliau dan berjanji untuk memberi ganti rugi kepada mereka yang sudahpun membeli tiket penerbangan untuk ke majlis perkahwinannya.

"Kepada para penaja bersama majlis perkahwinan, kek, makanan dan sebagainya, jangan bimbang, saya akan hubungi anda juga. Kita boleh sedekahkan kepada anak-anak yatim," ujar Awi.

Awi dan Atikah mengikat tali pertunangan pada 17 Mac 2018 dan merancang untuk bernikah 17 Mac 2019, genap setahun.

Ia juga semacam ‘hadiah’ bagi Atikah memandangkan ulang tahun kelahirannya jatuh pada 15 Mac.

Pasangan itu sudah berkawan sekitar lapan tahun sebelum bertunang dan masing-masing mencipta nama di Malaysia menerusi karya lakonan dan nyanyian yang tidak kurang hebatnya. 

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/nk

Top