Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

‘Atom Ant' terperan-Jatt menang tempat ke-3 dalam Gegar Vaganza 6

Pada usia 63 tahun, Jatt Ali, merupakan peserta tertua Gegar Vaganza 6. Namun beliau ternyata lebih gagah daripada ramai peserta lain yang jauh lebih muda.

Anggaran Waktu Membaca:
‘Atom Ant' terperan-Jatt menang tempat ke-3 dalam Gegar Vaganza 6

Jatt Ali menang tempat ketiga dalam GV6. (Gambar: YouTube/ Astro)

SINGAPURA: Pada usia 63 tahun, Jatt Ali, merupakan peserta tertua Gegar Vaganza 6. Namun beliau ternyata lebih gagah daripada ramai peserta lain yang jauh lebih muda.

Jatt nampaknya pukul habis 10 peserta lain untuk menduduki tempat ketiga, kecuali Hady MIrza dan Naqiu, dalam pertandingan 11 minggu itu.

Penyanyi veteran Singapura itu mengaku beliau sebenarnya terkejut dengan keputusan tersebut.

"Alhamdulillah, bersyukur kerana saya telah menang di tempat ketiga untuk final yang mana saya tidak menjangkakan sama sekali,” kata beliau jujur semasa diwawancara BERITAmediacorp.

Jatt membawa pulang hadiah RM30,000 (S$9,820).

Beliau meraih markah 76 peratus menerusi dendangan lagu solo Without You, nyanyian asal kumpulan Air Supply. Satu lagi lagu adalah Angguk Angguk, Geleng Geleng dendangan asal kumpulan rap Singapura, Ahli Fiqir.

Walaupun beliau menjangkakan bahawa sama ada Hady atau Naqiu akan menang sebagai johan, beliau juga menjangkakan One Nation Emcees sebagai kemungkinan menang.

Namun Jatt akhirnya meninggalkan kumpulan itu dua tangga di belakang.

"Seperti saya katakan, One Nation Emcees ada peluang, tapi mungkinlah mereka lebihkan saya punya markah dalam lagu rap ke, tak tahu kan. Jadi Alhamdulillah, saya dapat nombor ketiga," Jatt memberitahu BERITAmediacorp.

Nyanyian solo Jatt ternyata membawa tuah. Itulah penyelamat yang menempatkan penyanyi ‘Generasi Merdeka’ itu di tempat ketiga.

Kekuatan vokal Jatt semasa menyampaikan lagu itu begitu menyerlah sehingga juri Hetty Koes Endang berdiri memberikan tepukan gemuruh.

Juri Ramli M.S pula berkata itulah "suara asli (original)" Jatt dan 'feel' persembahannya itu cantik.

Semasa persembahan bagi lagu rap pula, yang dinyanyikan bersama Sham Visa, gaya dan penampilan Jatt begitu mencuit hati para penonton. Memang, ‘atuk’ dari kumpulan legenda Black Dog Bone ini ‘power’.

Walaupun ada bahagian-bahagian lirik yang sejujurnya 'ke laut', ia tetap membuatkan penonton bersorak dan terus memberikan semangat untuk beliau dan Sham.

Hakikatnya, lagu rap itu bukan sesuatu yang mudah bagi Jatt. Malah selesai sahaja segmen nyanyian solo, beliau dan Sham masih lagi berlatih pada saat-saat akhir.

"Kita latih dan latih sampai kita dapat. Lepas lagu solo. Sham Visa dan saya datang, kita buka bilik dan kita latih dan latih lagi sampai dapat, terus kita ke pentas dan itulah dia 'battle'," cerita Jatt kepada BERITAmediacorp.

Hakikatnya, penyanyi kecil molek yang menggelarkan dirinya ‘Atom Ant’ ini (kartun zaman 1960-an) dalam salah satu video sebelum ‘battle’ dengan Sham Visa, punya semangat juang yang sangat tinggi dan semangat yang besar sekali.

Berkongsi matlamat beliau selanjutnya dalam kerjaya nyanyian, Jatt berkata, masih ada satu lagi impian yang belum lagi dicapai.

"Dari mula saya menyanyi hingga sekarang, saya belum capai matlamat saya, saya ingin ingin sangat buat konsert di Albert Hall London.

"Mudah-mudahan dengan Gegar Vaganza ini orang-orang London melihat... atau mereka ada tawaran untuk saya buat konsert di London. Itu saya punya matlamat, lain saya tak mahu kira," kata beliau.

Finalis-finalis lain seperti Nurfatima menduduki tempat keempat, One Nation Emcees berada di tangga kelima manakala Sham Visa corot di tangga keenam.

Para pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak pulang dengan tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM20,000 (S$6,550), RM15,000 (S$4,910) dan RM10,000 (S$3,270) berserta trofi.

Pertandingan anjuran Astro itu berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan