Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Artis, penggiat seni S'pura kongsi harapan bagi tahun baru 2021

Pandemik COVID-19 mungkin mengubah dan menjejas industri hiburan. Namun, para artis dan penggiat seni Singapura amat berharap keadaan akan bertambah baik di masa hadapan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pandemik COVID-19 mungkin mengubah dan menjejas industri hiburan.

Namun, para artis dan penggiat seni Singapura amat berharap keadaan akan bertambah baik di masa hadapan.

Panggung dan pentas persembahan setempat sepi hampir sepanjang tahun ini akibat langkah sekatan COVID-19. Lantaran itu, personaliti tempatan seperti Najib Ali melahirkan rasa rindu kepada penonton dan berharap untuk bertemu muka dengan mereka pada tahun baru nanti.

"Saya mengharapkan teater-teater di Singapura akan buka supaya penggiat-penggiat seni kita akan mula berkarya dan datang lagi untuk berkarya di teater dan juga saya mengharapkan kita akan buka studio televisyen kita untuk penonton-penonton untuk datang menonton sesi-sesi rakaman di televisyen kerana saya sangat sangat merindui mereka," kongsi beliau.

Pelakon Mastura Ahmad yang tidak asing lagi menerusi penampilannya di saluran Suria dan saluran 5 Mediacorp pula berharap segala amalan baik yang dilakukan pada tahun mencabar ini diteruskan ke tahun baru.

"Semoga semua yang kita amalkan yang baik-baik sepanjang tahun 2020 harap dapat diteruskan dan harap setiap daripada kita memainkan peranan untuk menjaga diri, keselamatan, alam sekitar," kata Mastura.

Tahun ini ternyata mencabar bagi semua. Namun ia tidak melunturkan semangat Hisyam Hamid untuk melangkah ke tahun 2021 dengan harapan dan pandangan positif:

"Semoga kita semua dapat mencari atau berjumpa dengan cahaya di penghujung cabaran dan dugaan yang kita semua sedang hadapi sekarang ini, InsyaAllah," ujar beliau.

2020 boleh dikatakan sebagai tahun yang agak sepi sedikit buat Hady Mirza berbanding tahun sebelumnya, apabila beliau dijulang sebagai juara program realiti muzik di Malaysia, Gegar Vaganza. Apakah pula harapan bekas Singapore Idol dan Asian Idol ini bagi tahun 2021?

"Saya harap dan berdoa kita semua pulih daripada wabak ini supaya hidup kita kembali normal. Dengan itu saya ingin mengucapkan selamat tahun baru 2021 kepada anda semua. Harap-harap kita semua kekal berwaspada dan sentiasa selamat," ujar Hady. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan