Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Artis-artis S'pura kenang budi baik pelakon Ashraf Sinclair

Sepanjang beberapa hari sejak beliau meninggal dunia pada Selasa pagi (18 Feb) di Indonesia, ramai rakan artis tampil menceritakan kebaikan Allahyarham Ashraf Sinclair. Tidak terkecuali merakamkan keluhuran budi Allahyarham, adalah rakan-rakan seperjuangan dari Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Artis-artis S'pura kenang budi baik pelakon Ashraf Sinclair

(Gambar-gambar: Instagram/Syed Azmir, Hisyam Hamid)

Diterbitkan : 22 Feb 2020 01:43PM Dikemas Kini : 22 Feb 2020 01:55PM

SINGAPURA: Pemergian mendadak pelakon terkenal Malaysia Ashraf Sinclair begitu mengejutkan ahli keluarga, rakan dan para peminatnya.

Sepanjang beberapa hari sejak beliau meninggal dunia pada Selasa pagi (18 Feb) di Indonesia, ramai rakan artis tampil menceritakan kebaikan budi pelakon itu. Mereka termasuk pelakon asal Singapura, Hisyam Hamid, yang memuji sikap Allahyarham yang mulia.

Hisyam dalam wawancara bersama Berita Harian Online Malaysia yang diterbitkan Jumaat (21 Feb) mengenang pengalaman penggambaran bersama Ashraf dalam drama bersiri 'Dosa' sekitar dua tahun lalu.

Meskipun Allahyarham Ashraf sudah menempa nama hingga ke Indonesia, beliau tidak sesekali bersikap meninggi diri.

“Arwah sangat baik dan merendah diri. Saya teringat sesi latihan pada hari Jumaat. Saya, arwah dan Remy Ishak berlatih sehingga basah kuyup berpeluh," kata Hisyam seperti dilaporkan BH Online.

“Tanpa diduga, arwah mempelawa saya dan Remy ke rumahnya untuk membersihkan diri sebelum menunaikan solat Jumaat.

“Saya tak sangka dilayan begitu. Arwah beritahu kami sudah seperti adik-beradik. Daripada situ, terserlah sikap arwah yang mulia. Beliau sangat menyenangkan dan positif dalam banyak perkara."

Hisyam, Remy dan Allahyarham Ashraf menjadi antara pelakon drama 'Dosa' terbitan Astro yang menjalani penggambaran di Indonesia selama dua bulan pada 2017.

Hisyam menambah, selain memegang watak sebagai abang di depan layar, Allahyarham juga ibarat seorang abang kepadanya di luar set penggambaran, termasuk menunjukkan keprihatinan terhadapnya ketika Hisyam jatuh sakit.

RAKAN TIDAK PERNAH MENGHAMPAKAN - SYED AZMIR

Selain Hisyam Hamid, seorang lagi personaliti Singapura Syed Azmir juga menyifatkan Allahyarham Ashraf ibarat seorang saudara sendiri.

"Anda ibarat seorang abang yang saya tidak pernah ada sebelum ini," tulis Syed Azmir di Instagram pada Khamis.

Dalam catatan yang disertakan gambar-gambar dan videonya bersama Allahyarham, Syed Azmir menceritakan tentang keakraban persahabatan antara mereka berdua, termasuk kenangan berkongsi semangkuk lauk lemak cili padi bersama dan apabila Bunga (isteri Allahyarham) menerbangkan Syed Azmir untuk membuat kejutan hari lahir Ashraf ke-39.

"Anda orang yang saya harapkan selama menjalani pelbagai fasa kehidupan. Semasa mengharungi pasang surut kehidupan, anda sering berpesan, "Sa, I'm just a phone call away". Dan memang benar, anda tidak pernah hampakan. Tidak pernah walau sekalipun," tulis Syed Azmir.

Sumber : Agensi berita/BERITAmediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan