Images
  • shah slam
    Gambar: Facebook/shah slam)

Artis 90-an bantu Shah Slam selepas rumah terbakar

AMPANG JAYA: Tabung bantuan kecemasan bagi membantu keluarga Shah Slam yang ditimpa musibah baru-baru ini, berjaya mengutip lebih RM600 (S$197) pada acara Iftar Artis 5 Suara bersama barisan artis 90-an di sebuah hotel di Kampung Baru pada Isnin lalu (20 Mei).

Penyanyi Mac Ruhayu ketika dihubungi berkata pada acara itu hampir 100 artis era 90-an berkumpul beramah mesra sambil mengeratkan silaturahim, menurut Harian Metro.

"Ramai rakan artis yang hadir menyumbang ke dalam tabung bantuan kecemasan yang kami lancarkan pada malam itu juga."

"Alhamdulillah, kami dapat kumpul RM600 (S$197) dan wang sumbangan itu sudah diserahkan kepada Shah dan isterinya, Ina (bekas ahli kumpulan Freshies) di 'homestay' tempat mereka berteduh petang semalam," kata Mac.

Harian Metro melaporkan, selain wang yang terkumpul, Shah dan keluarga turut mendapat sumbangan tambahan berupa hamper makanan dan wang tunai dari wakil syarikat Intercoin X, Nicholas Gordan yang turut menemani Mac.

Dalam pada itu, Mac meluahkan rasa terkilan apabila mendapat tahu sehingga hari ini belum ada wakil persatuan artis atau pemimpin tempatan yang turun padang untuk membantu mahu pun bertanya khabar selepas tragedi kebakaran rumah keluarga pemuzik itu.

"Saya bertanya Ina, ada tak wakil persatuan artis dan wakil rakyat turun membantu atau tanya khabar selain kami?

"Dia mendakwa setakat ini tiada sesiapa pun, hanya kami sahaja yang datang melawat dan bertanya khabar," kata Mac lagi.

Pada Jumaat lalu, menurut Harian Metro, rumah sewa dua tingkat yang didiami Shah bersama Ina Freshies dan tiga anak perempuan mereka di Taman Bukit Indah, Ampang di Selangor terbakar kerana litar pintas.

Kebakaran dipercayai berlaku ketika waktu berbuka puasa itu menyebabkan perabot, pakaian dan dokumen penting yang disimpan dalam dua bilik tidur di tingkat atas musnah sama sekali.

Selepas kejadian, keluarga itu terpaksa berteduh di sebuah 'homestay' ihsan jiran mereka di Taman Kosas, di Ampang.

- Agensi berita/ZM/zm

Top