Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Art Fazil hasilkan single ala nasyid Ya Nabi Salam Alaika

Setelah sekian lama memperjuangkan lagu-lagu bercorak rakyat, blues, balada dan pop, malah pernah juga menghasilkan album Inggerisnya, terkini Art Fazil muncul pula dengan single terbaru. Yang menariknya, single ini bercorak kerohanian seperti nasyid.

Anggaran Waktu Membaca:
Art Fazil hasilkan single ala nasyid Ya Nabi Salam Alaika

Art Fazil dan Caravan of Praise menghasilkan single terbaru ala nasyid berjudul Kerana Mu (Ya Nabi Salam Alaika). (Gambar-Gambar: Moro Records/Art Fazil)

Diterbitkan : 05 Jan 2019 11:39PM Dikemas Kini : 06 Jan 2019 12:08AM

BERITAmediacorp: Setelah sekian lama memperjuangkan lagu-lagu bercorak rakyat, blues, balada dan pop, malah pernah juga menghasilkan album Inggerisnya, terkini Art Fazil muncul pula dengan single terbaru. Yang menariknya, single ini bercorak kerohanian seperti nasyid.

Single tersebut berjudul Kerana Mu (Ya Nabi Salam Alaika) dan dilancar pada awal Disember, di Kuala Lumpur, Malaysia. Lagu nasyid terbaru ini adalah gabungan Art Fazil sendiri bersama kumpulan muzik lagu-lagu keagamaan di Malaysia, atau lebih dikenali sebagai Caravan of Praise.

Antara artis-artis popular yang menganggotai kumpulan Caravan of Praise itu ialah Abu Bakar dari kumpulan nasyid Raihan, Baba Andy dari kumpulan Flop Poppy, Erwan dari Muhibbain, dan beberapa lagi penyanyi mapan dari sana.

Gambar Art Fazil bersama kumpulan Caravan of Praise.

Single ini diterbit dan dilancarkan di antara kolaborasi Moro Records dan Kengkawan Project. Cik Nik Jassmin Hew bertindak sebagai penerbit eksekutif, dan Art Fazil sendiri adalah pencipta dan penulis bagi lagu tersebut.

ART FAZIL SUDAH BERALIH ARAH?

Art Fazil dan tak rock ke? Art Fazil dah go nasyid?

Beliau memberitahu BERITAmediacorp baru-baru ini bahawa single itu merupakan sebuah projek amal kelolaan Kengkawan Project. Kengkawan Project adalah sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan hasil daripada keuntungan penjualan single ini juga bakal diberikan sepenuhnya kepada Kengkawan melalui aktiviti dan acara amal kendalian mereka.

Sebelum ini, Kengkawan Project sudah melaksanakan beberapa aktiviti kebajikan seperti ‘Back To School’ untuk kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan, misi bantuan banjir ke Pahang, Kelantan dan Perak, sarapan percuma di Jakarta, dan banyak misi-misi kemanusiaan di dalam dan luar negera. Badan ini berpusat di Malaysia.

“Kami menampilkan single dakwah ini kerana ingin membantu masyarakat melalui, seni, muzik dan beramal melalui cogan #charitythroughmusic. Kami mengharapkan semuga masyarakat amnya akan menyukai lagu ini, dan dapat juga bernyanyi dan melebihkan berselawat kepada Baginda Rasulullah, sambil beramal dengan membeli CD single ini,” kata Art Fazil.

PERISIAN LAGU KERANA MU (YA NABI SALAM ALAIKA)

Menurut artis tempatan ini lagi, lagu ini adalah sebuah lagu pujian terhadap Baginda Nabi Muhammad. Dengan menggunakan perumpamaan dan istilah puitis yang indah untuk memberi gambaran tentang keunikan, kemuliaan dan keagungan Rasullulah di sisi Allah.

Mereka mengambil masa selama sembilan bulan untuk menyiapkan single tersebut, termasuk juga penggambaran bagi klip video lagu tersebut. Irama lagu itu menggabungkan elemen lama dan baru untuk memberikan kesegaran sambil menarik minat pendengar muda agar meminati lagu-lagu bercorak kerohanian.

“Ketika merakamkan lagu kerohanian ini, Kerana Mu (Ya Nabi Salam Alaika), kami mengharapkan agar generasi muda dapat menerima dan akan meminati lagu-lagu berunsur keagamaan ini dan secara tidak langsung, dapat berselawat and mengenali Nabi kita Salallahu Alaihisalam dengan lebih mendalam lagi,” ungkapnya lagi.

Single ini sudah dilancarkan sejak 1 Disember di YouTube. Bagaimana sambutannya sejauh ini? Nampaknya tidak begitu membara. Ketika artikel ini diterbitkan, baru sekitar 1,850 tontonan dicatatkan.

Kami diberitahu, penggambaran bagi video muzik tersebut dilakukan di Muar, Johor berhampiran dengan Selat Melaka. Penonton dapat melihat keindahan alam semula jadi sebagai simbolik dengan seni kata lagu ini.

Bagi peminat di Singapura, anda boleh menyokong projek murni ini dengan membeli secara dalam talian di iTunes, Spotify dan di platform digital yang lain. CD single lagu amal ini sudah mula dijual pada pertengahan Disember, namun hanya di Malaysia sahaja, dengan harga RM15 (S$5). 

Sumber : BERITA Mediacorp/WA/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan