Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Apa komen artis-artis M’sia yang tercalon bagi Anugerah Planet Muzik 2018?

Di kalangan artis-artis Malaysia yang akan berentap dalam Anugerah Planet Muzik 2018, tiga nama nampaknya menonjol kali ini. As’ad Mootawh merupakan artis paling banyak pencalonan dari Malaysia setelah namanya tercatat dalam lima kategori.

Anggaran Waktu Membaca:
Apa komen artis-artis M’sia yang tercalon bagi Anugerah Planet Muzik 2018?

(Gambar: Anugerah Planet Muzik/ Facebook)

Diterbitkan : 07 Aug 2018 12:31AM Dikemas Kini : 07 Aug 2018 12:43AM

BERITAMediacorp: Di kalangan artis-artis Malaysia yang akan berentap dalam Anugerah Planet Muzik 2018, tiga nama nampaknya menonjol kali ini. As’ad Mootawh merupakan artis paling banyak pencalonan dari Malaysia setelah namanya tercatat dalam lima kategori.

Mimifly serta Faizal Tahir dari Malaysia pula masing-masing mendapat empat pencalonan dalam acara penganugerahan serantau itu yang bakal berlangsung pada Jumaat, 28 September 2018 nanti di MES Theatre, Mediacorp.

Penyanyi tersohor Malaysia, Siti Nurhaliza pastinya dijangka mengubat rindu peminat-peminatnya di Singapura apabila beliau bakal membuat persembahan pada malam anugerah setelah berehat seketika dari menyanyi.

(Gambar-gambar: Dato Sri Siti Nurhaliza)

“Alhamdulillah kerana APM membariskan saya dalam pencalonan akhir bagi dua kategori. Ini juga sesuatu yang bermakna kerana saya dapat kembali ke APM. Memang saya sendiri teruja untuk ke Singapura dan bertemu para peminat setelah bercuti lama sebelum ini.

“Tidak sabar untuk menghiburkan peminat dan penonton APM. Ada sesuatu yang istimewa buat anda pada persembahan saya nanti, apa dia? Kena tunggu ya,” kata Siti kepada BERITAMediacorp.

Siti menambah bahawa kolaborasi beliau bersama penyanyi Indonesia, Judika sebenarnya tercetus apabila mereka pernah berduet untuk APM beberapa tahun lepas. “Ini membuktikan bahawa kita boleh bekerjasama jika ada keinginan”, tambah Siti lagi.

Sementara itu, penyanyi serta komposer hebat Faizal Tahir mempunyai pendirian beliau yang tersendiri apabila dicalonkan untuk APM 2018 . Terangnya baru-baru ini:

“Saya tidak pernah kenal erti bersaing dalam industri muzik, kerana pada saya, saingan terdekat adalah dengan diri sendiri. Ini kerana, saya selalu ingin memastikan apa yang saya lakukan pada hari ini lebih baik dari hari semalam dan saya tidak pernah membezakan diri saya dengan orang lain kerana pada saya masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri.”

Rossa, Judika, Ryan Sufiyan, Mimifly, Ayda Jebat, Khai Bahar, Sara Fajira, Adrian Khalif, Farhan Shah, Jaz, GAC dan The Pinholes merupakan antara artis yang akan berkongsi pentas untuk persembahan pada malam tersebut.

Kami sempat menghubungi beberapa artis popular dari Malaysia untuk mendapatkan respons mereka mengenai pencalonan APM 2018 mereka pada tahun ini.

(Gambar: Dayang Nurfaizah)

1. ARTIS: DAYANG NURFAIZAH

Dicalonkan bagi 2 Kategori: Artis Terbaik Wanita (Separuh Matiku Bercinta), Lagu Terbaik Malaysia (Separuh Matiku Bercinta).

Ini komen Dayang Nurfaizah kepada BERITAMediacorp tentang pencalonannya:

“Dayang bersyukur sangat-sangat dicalonkan tapi kalau nak kata siapakah saingan paling hebat memang susah. Sebab setiap yang tercalon itu semua ada keistimewaan masing-masing, semua hebat-hebat jadi susah Dayang nak cakap siapa yang memberi saingan kepada Dayanglah.

“Untuk Lagu Terbaik (Malaysia) pun susah Dayang nak cakap siapa yang beri saingan paling hebat sebab kalau kita tengok ada Search, Ayda Jebat, MimiFly. Semua hebat-hebat, lagu pun berlainan.

“Kekuatan lagu Dayang Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan Ajai adalah lagu Ajai itu sendiri. Bila orang dengar nama dia, orang akan tahu lagu dia mempunyai melodi yang best, sedap dan catchy. Dayang rasa melodi dan jugak liriknya "gel” dan juga susunan lagu itu sendiri. Dayang bersyukur dicalonkan sekali lagi. Dayang gembira samada dapat atau tidak, bukan keutamaan Dayang.”

(Gambar: Mimifly)

2. ARTIS: MIMIFLY

Dicalonkan bagi 4 Kategori: Artis Baru Terbaik (Wanita); Kolaborasi Terbaik (Artis) Lagu Gila bersama Ryan Sufiyan; Lagu Terbaik Malaysia (Superfly); Lagu Paling Popular APM (Gila).

Apa pula perasaan Mimifly tentang pencalonannya kali ini? Ini luahan beliau:

“Mimi rasa inilah kali pertama Mimi berdepan dengan perasaan takut. Mimi selalu sentiasa dalam kumpulan One Nation Emcees. Mimi rasa lega sangat tercalon sebab apa sahaja soalan yang ada dalam kepala saya sudah terjawab. Mimi dapat rasa penghargaannya.

“Sudah terjawab perasaan yang hanya merungsingkan rasa kurang yakin sebab Mimi lalui perjalanan selama 10 tahun bersama One Nation Emcees. Sudah tiba masa untuk Mimi penuhi impian untuk buat lagu secara solo walaupun orang kata dah terlambat sebab Mimi dah kahwin dan bercerai. Bila kita keluarkan karya kita yang terlalu peribadi, ia memberi Mimi semangat untuk teruskan.”

Mimifly menambah bahawa beliau berasa “macam muda balik” kerana dicalonkan untuk kategori Artis Baru Terbaik. Ini kerana sebagai artis, beliau sudahpun 10 tahun bersama One Nation Emcees.

“Mimi rasa kesemua lagu mewakili genre masing-masing jadi Mimi tak rasa persaingan. Ia lebih kepada rezekilah. Mimi rasa sangat bangga. Lagu ini memang hasil karya Mimi sendiri, lirik dan jalan cerita adalah hasil Mimi sendiri.

“Mimi tak nampak saingan sebab kami semua mewakili lagu kami, cerita dan tenaga yang berbeza jadi macam kami sambut kemenangan apabila kami semua tercalon. Sudah tentu Mimi suka sangat lagu Dayang Nurfaizah, lagu favorit Mimi,” dedah beliau dengan penuh semangat pertandingan.

(Gambar: Faizal Tahir/ Instagram)

3. ARTIS: FAIZAL TAHIR

Dicalonkan bagi 4 Kategori: Duo Kumpulan Terbaik (Buta bersama Caliph Buskers); Kolaborasi Terbaik (Jangan bersama Aziz Harun); Kolaborasi Terbaik (Tak Perlu Kata Apa-Apa Hannah Delisha); Artis Terbaik Lelaki (Menang).

“Kekuatan lagu Buta ini terletak pada Caliph Buskers itu sendiri kerana Caliph Buskers, Azmi dan rakan-rakan dapat membawa lagu Buta dan menyampaikan mesej dengan cukup baik. Mereka mampu membawa mesej yang kuat di dalam lagu itu walaupun mereka dalam keadaan yang sebegitu (buta),” kata Faizal.

Namun beliau berasa syukur kerana masih ada yang sayang dengan beliau dalam dunia muzik ini, kata Faizal dalam nada ketawa bergurau.

“Sejujurnya, rasa sangat bersyukur kerana masih dihargai dan relevan setelah 12 tahun dalam bidang seni, ini semua adalah kerana sokongan peminat. Harapan saya walau apa jua keputusan yang akan diumumkan, APM ini dapat memberi manfaat pada industri seni di rantau Asia Tenggara.

“Malah bukan sekadar memberi manfaat pada industri muzik tetapi juga pada hubungan persaudaraan antara 4 negara yang terlibat,” kongsi beliau lagi.

(Gambar: Siti Nurhaliza/Instagram)

(Gambar: Siti Nurhaliza/Instagram)

4. ARTIS: SITI NURHALIZA

Dicalonkan bagi 2 Kategori: Kolaborasi Terbaik (Judika, Kisah Ku Inginkan); Artis Terbaik Wanita (Segala Perasaan).

Siti menyatakan, setiap kali menerima pencalonan beliau berasa teruja di atas pemilihannya. Beliau menambah tidak mengira siapa pun yang turut bertanding dan meraikan kebersamaan tersebut.

“Saya tidak melihat mereka pesaing tetapi sebagai rakan artis yang sama-sama berjuang untuk seni. Ada rakan lama dan ada nama baru dan ini sesuatu yang baik kerana kita serantau dengan membawa budaya muzik masing-masing. Saya melihat setiap penyanyi ini ada kekuatan mereka yang tersendiri,” kongsi Siti kepada BERITAMediacorp.

Mengenai lagu beliau yang dicalonkan, Siti berkata ia mempunyai melodi yang cepat menusuk ke hati dan liriknya juga sangat memberikan kesan. Nyanyian Judika turut beliau “kagumi” kerana beliau di antara penyanyi lelaki yang mempunyai “suara luar biasa hebatnya”.

“Saya tidak dapat membuat tekaan mengenai kekuatan kerana juri ada pendapat mereka sendiri. Bagi saya, apabila merakamkan lagu duet, keserasian suara dan keseimbangan kedua-dua penyanyi yang akan menjadikan lagu itu dapat disampaikan dengan baik.

“Jika ada rezeki, saya bersyukur dan seperti tahun-tahun sebelumnya, saya memang seorang penyanyi yang akan terus merakamkan lagu atau album. Tidak ada yang mematahkan semangat saya dan bila tercalon ke APM, ini adalah bonus dan kesinambungan kerjaya saya,” kongsi Siti Nurhaliza lagi.

Tiket APM 2018 berharga $28, $48, $68 (termasuk GST) boleh dibeli di kesemua cawangan SISTIC di Singapura atau anda boleh layari www.sistic.com.sg. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan