Images
  • oscar
    Anugerah Akademi diadakan tanpa seorang hos tahun ini buat julung-julung kalinya dalam 30 tahun. (Gambar: Mike Blake/Reuters)

Anugerah Oscar tanpa hos buat pertama kali dalam 30 tahun

AMERIKA SYARIKAT: Anugerah Akademi, iaitu acara gilang-gemilang Hollywood, akan diadakan tanpa seorang hos tahun ini buat julung-julung kalinya dalam tempoh tiga dekad, kata para penganjur pada Selasa (5 Feb).

"Kami boleh mengesahkan bahawa acara itu tidak akan menampilkan seorang hos," kata jurucakap Academy of Motion Picture Arts and Sciences kepada agensi berita AFP tanpa memberi sebarang maklumat lanjut.

Keputusan itu dibuat selepas pelakon dan pelawak Kevin Hart mengundurkan diri pada Disember lalu kerana dikecam menerusi media sosial selepas catatan-catatan Twitter berunsur homofobia yang dibuatnya beberapa tahun lalu timbul semula.

Menurut pengamat industri, para penerbit Anugerah Akademi ke-91 yang akan berlangsung pada 24 Februari ini merancang untuk mencuba format baru dengan bintang-bintang Hollywood terpilih memperkenalkan pelbagai segmen acara tersebut.

Kali terakhir Anugerah Oscar diadakan tanpa seorang hos adalah pada 1989, apabila pelakon Robe Lowe diselar berhubung duet muzikalnya bersama Snow White.

Beberapa hos lain turut menerima kritikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia termasuk Neil Patrick Harris yang dikritik atas persembahannya semasa menghoskan acara itu pada 2015, di mana pelakon itu kemudian mengatakan beliau tidak akan lagi menjadi hos bagi acara tersebut.  

- CNA/AI/ai

Top