Images
  • Anugerah
    (Gambar: Petikan dari video)

Anugerah Musim ke-11 bermula Feb ini dengan pertarungan bakat tua, muda & band

SINGAPURA: Pertandingan nyanyian Anugerah anjuran SURIA kembali lagi bagi musim ke-11 pada 2 Februari ini dengan pemenangnya bakal membawa pulang bernilai $25,000.

Lebih 500 orang memohon untuk menyertai Anugerah dan hanya 18 berjaya terpilih untuk pusingan akhir.
Anugerah kali ini menampilkan para peserta dalam kalangan usia yang lebih luas antara 16 dengan 60 tahun yang akan beradu suara sepanjang 10 minggu.

Pertandingan utama pencarian bakat Melayu anjuran Mediacorp itu pertama kali diperkenalkan 20 tahun lalu, iaitu pada 2001. Selain Anugerah, ia juga memperkenalkan edisi Anugerah Band dan Anugerah V bagi penyanyi veteran.

Tahun ini, edisi-edisi Anugerah itu digabungkan dan diberi nafas baru, dengan faktor ‘wow’ daripada bakat-bakat tempatan - baik yang muda mahupun yang tua - menerusi persembahan pelbagai genre muzik di atas satu pentas.

Menurut Mediacorp, lebih 500 klip uji bakat yang dikirimkan lewat tahun lalu. 18 peserta solo dan berkumpulan terpilih untuk pusingan seterusnya. Mereka inilah yang akan bertanding sepanjang 10 minggu, bermula pada 2 Februari hingga akhirnya empat peserta akan berentap di peringkat akhir pada 9 April 2021.

Dalam setiap pusingan, mereka akan menyanyikan lagu-lagu dengan tema berbeza termasuk pop kontemporari, lagu pada tahun mereka dilahirkan, muzik dunia (World Music) dan 100 peratus Singapura.


Ketua Unit Audiens Melayu Mediacorp, Sabariah Ramilan berkata: “Mediacorp gembira untuk mengembalikan Anugerah dan kami berterima kasih kepada para peserta atas respons mereka kepada ujibakat yang kami jalankan.

“Sekarang ini masanya untuk kita mencungkil lebih banyak bakat muzik dan kami tidak sabar untuk menyaksikan persembahan-persembahan yang akan ditunjukkan oleh para peserta. Dalam masa beberapa bulan mendatang kami akan mendampingi para peminat di beberapa platform dan bersama-sama meraikan bakat-bakat terbaik tempatan dan kemeriahan industri muzik Singapura.”


Antara yang terpilih termasuklah Azra Zulaikha, 23 tahun, yang pernah menjuarai pertandingan menyanyi Suara Wisma Geylang Serai 2020. Azra juga adalah vokalis kumpulan tradisional Melayu, Munir Traditional Band yang banyak membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan.

"Saya mahu keluar dari zon selesa saya dan Anugerah adalah wadah yang baik untuk melihat sejauh mana saya boleh pergi," kata Azra menerusi kenyataan media Mediacorp.


Azra Zulaikha. (Gambar: Mediacorp Suria)

Juga layak ke peringkat 18 terpilih itu ialah Andry Darwisy, belia 19 tahun yang pernah menyertai pertandingan D'Academy Asia Musim 4 (2018) dan muncul sebagai 'Top 32'.

"Rancangan adubakat tempatan seperti Anugerah adalah sebuah wadah yang bagus untuk oang yang mula mahu bertapak seperti saya, untuk terjun dan belajar selok belok industri hiburan," ujar Andry tentang motivasinya menyertai pertandingan itu.


Andry Darwisy. (Gambar: Mediacorp Suria)

Raliff Ismail atau nama sebenarnya Ibnur Aliff Ismail pula merupakan peserta kali kedua Anugerah. Dia pernah masuk bertanding dalam Anugerah 2011 dan menjadi antara peserta 'Top 50'.

Pereka grafik sambilan berusia 29 tahun itu berharap menerusi kelas latihan vokal dan 'masterclass' yang disediakan menerusi Anugerah, dia dapat menangani rasa cemas dan meningkatkan prestasinya kali ini.

"Saya percaya suara saya unik dan saya mungkin antara sebilangan bakat muda tempatan yang suka menyanyikan lagu-lagu malar segar oleh legenda seperti Ismail Haron, Roy, Broery Marantika, Sugiman Jahuri dan Fariz RM," komen Raliff yakin.


Raliff Ismail. (Gambar: Mediacorp Suria)

Namun sejauh mana para peserta ini dapat melangkah hingga ke final, hanya persembahan mereka di pentas dapat menjadi pengukurnya.

Ayuh saksikan Anugerah setiap minggu mulai Selasa (2 Feb) pukul 8.30 malam di Suria.

Mulai 19 Januari ini, anda juga boleh menyaksikan sesi ‘jamming’ khas bersama semua 18 peserta serta video-video balik tabir di mediacorp.sg/anugerah dan YouTube Mediacorp.  

- BERITAmediacorp/nk

Top