Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Anugerah Juara Lagu 35 ditunda ke tarikh lain dek PKP M'sia

Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) yang sepatutnya bersiaran langsung daripada Auditorium MBSA, Shah Alam pada 7 Februari depan ditunda bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin.

Anggaran Waktu Membaca:
Anugerah Juara Lagu 35 ditunda ke tarikh lain dek PKP M'sia

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 13 Jan 2021 12:12PM Dikemas Kini : 13 Jan 2021 12:14PM

KUALA LUMPUR: Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) yang sepatutnya bersiaran langsung daripada Auditorium MBSA, Shah Alam pada 7 Februari depan ditunda bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Khairul Anwar Salleh menjelaskan tempoh 14 hari PKP akan mengekang tugas-tugas persediaan AJL35.

“Ketika dalam sidang media AJL35 pada Isnin (11 Jan), saya dan Penerbit Eksekutif AJL35, Puan Huda sememangnya berharap agar PKP tidak dilaksanakan, dan AJL35 boleh berlangsung seperti yang dijadualkan.

“Namun, pada Isnin, Perdana Menteri menguatkuasakan PKP bermula Selasa (12 Jan) sehingga 26 Januari depan. Tempoh 14 hari PKP ini akan mengekang tugas-tugas persediaan AJL35, terutama kerja-kerja pembinaan pentas dan set lain.

“Hal ini kerana, kerja-kerja pembinaan tersebut memerlukan tenaga kerja yang ramai. Oleh itu, untuk kebaikan semua pihak, kami memutuskan untuk menunda AJL35 ke tarikh yang akan diberitahu kelak, sebaiknya setelah tempoh PKP ditamatkan secara rasmi,” katanya dalam satu kenyataan.

Encik Khairul juga memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat, mahupun secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan AJL35.

“Kami berharap juga agar semua rakyat akan patuh PKP demi kebaikan dan keselamatan kita semua,” katanya.

Sebelum ini, AJL35 yang mencalonkan sebanyak 12 lagu ke pusingan akhir turut berdepan dugaan lain apabila penyanyi Alif Satar dan kru produksi yang terlibat dalam persembahan diuji positif COVID-19.

Peringkat separuh akhir Muzik Muzik sebelum itu juga terpaksa ditunda program berkenaan atas faktor keselamatan.

Lagu-lagu layak bertanding adalah Hati yang dinyanyikan Hael Husaini, Belenggu Rindu (Jamal Abdillah dan Wani Hasrita), Peluang Kedua (Nabila Razali), 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta ), Aku Bidadari Syurgamu (Aishah), Semalam (Aina Abdul), Hutang (Floor 88), Gundah (Ernie Zakri), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter), Eh (Zizi Kirana), Kau Sakiti (Amir Masdi) dan Gila (Kaka Azraff, Noki, Loca B).

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan