Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Anuar Zain sedia sumbang suara untuk OST drama: "Kenapa tidak? Kalau ada yang bersesuaian."

Raja lagu-lagu balada Melayu, Anuar Zain mendedahkan beliau terbuka untuk menyumbang suara bagi lagu tema drama, malah akan memulakan proses penerbitan album baru pada tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Raja lagu-lagu balada Melayu, Anuar Zain mendedahkan beliau terbuka untuk menyumbang suara bagi lagu tema drama, malah akan memulakan proses penerbitan album baru pada tahun depan.

Demikian kongsi Anuar Zain dalam wawancara bersama BERITAmediacorp hari ini (10 Okt).

Anuar Zain mengakui bahawa memang ada pihak yang memberikan tawaran ataupun yang inginkan lagu-lagu beliau dimainkan untuk drama.

"Kadang-kadang mereka inginkan lagu yang mereka pilih sendiri, tetapi tidak ikut ‘feel’ saya," dedah penyanyi Malaysia itu.

"Paling penting bagi saya, sebuah lagu itu harus kita boleh rasa. Penyanyi itu harus suka dan boleh rasa lagu itu. Saya tolak beberapa tawaran tetapi kalau ada di masa hadapan, kenapa tidak? Kalau ada yang bersesuaian," kongsi beliau lagi.

Penyanyi balada pujaan ramai itu berada di Singapura hari ini (10 Okt) bagi mempromosikan konsert solo beliau yang akan berlangsung di Star Theatre pada 26 Oktober ini.

Dengan dua minggu sahaja menjelang konsert "Cinta Takkan Berakhir" LIVE di Singapura, artis veteran itu berkongsi bahawa beliau amat sibuk mempelajari lagu-lagu yang digubah semula - khas untuk konsert itu.

Antara keistimewaan yang dijanjikan termasuk kesinambungan kepada jalan cerita video muzik "Andainya Takdir" dan "Cinta Takkan Berakhir" yang akan ditayangkan buat pertama kalinya pada malam itu.

Walaupun dipujuk BERITAmediacorp, adik penyanyi Ziana Zain ini enggan memberi sebarang bayangan.

"Saya tidak boleh beri apa-apa bayangan pun. Ia akan jadi suatu kejutan. Yang ketiga ini, anda harus tunggu. Anda harus datang dan tengok," kata beliau sambil tertawa.

Anuar Zain bakal mendendangkan sebanyak 15 buah lagu lama dan baru dalam konsert 90 minit itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/IH/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan