Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Anthony Hopkins cipta sejarah; pemenang tertua Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik

Pelakon Britain, Anthony Hopkins, memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik pada Ahad (25 April), kemenangan mengejut ke atas mendiang Chadwick Boseman, yang sebelum ini disebut-sebut akan memenangi anugerah Oscar itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Anthony Hopkins cipta sejarah; pemenang tertua Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik

Gambar fail pelakon Anthony Hopkins dipetik pada 18 Nov 2019 (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 Apr 2021 08:17PM Dikemas Kini : 26 Apr 2021 08:22PM

LOS ANGELES: Pelakon Britain, Anthony Hopkins, memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik pada Ahad (25 April), kemenangan mengejut ke atas mendiang Chadwick Boseman, yang sebelum ini disebut-sebut akan memenangi anugerah Oscar itu.

Hopkins, 83 tahun, memenangi anugerah Oscar kedua dalam kerjayanya menerusi lakonannya yang menyayat hati sebagai seorang pesakit demensia dalam filem The Father.

Hopkins bagaimanapun tidak menghadiri majlis penyampaikan anugerah itu. Dengan kemenangan pada Ahad, Hopkins menjadi pelakon tertua yang pernah memenangi Anugerah Akademi.

Hopkins sudah berkecimpung dalam bidang perfileman, TV dan pentas selama enam dekad. Beliau mungkin paling terkenal melalui watak pembunuh Hannibal Lecter yang licik dan kejam dalam filem 'thriller' 1991, The Silence of the Lambs, yang turut menyumbang kepada anugerah Oscar pertamanya.

Beliau juga memenangi Anugerah Pelakon Terbaik BAFTA di Britain tahun ini bagi filem The Father.

Boseman, yang terkenal melalui filem adiwira Black Panther, disebut-sebut ramai akan merangkul anugerah pelakon terbaik itu bagi lakonannya sebagai pemain trompet yang bercita-cita tinggi dalam drama jazz tahun 1920-an, Ma Rainey's Black Bottom, setelah memenangi beberapa anugerah lain sebelum Oscar.

Boseman meninggal dunia pada Ogos 2020 setelah bertarung melawan barah usus selama empat tahun.

Dalam The Father, Hopkins memainkan watak sebagai seorang lelaki lanjut usia yang enggan menerima sebarang pertolongan daripada keluarganya dan dia mula meragui antara apa yang nyata dan apa yang dibayangkannya. Ia disesuaikan dari sebuah pementasan pada 2012 dengan tajuk yang sama.

Dilahirkan di Wales, Hopkins yang bercakap lemah lembut adalah anak pembuat roti yang kerjayanya sudah menyaksikannya memainkan pelbagai watak - dari mendiang presiden Amerika Syarikat Richard Nixon hinggalah sebagai artis Pablo Picasso, Pope Benedict dan pengarah Alfred Hitchcock.

Namun Hopkins berkata cinta pertamanya adalah muzik dan beliau secara tidak sengaja memulakan kerjaya dalam bidang lakonan. Beliau juga seorang pemain piano yang berpengalaman dan seorang artis yang sudah bertahun-tahun menetap di California.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan