Images
  • musa
    Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Annuar Musa. (Gambar: Bernama)

Annuar Musa beri 'peringatan mesra' kepada penggiat seni belum disuntik vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Annuar Musa, pada Khamis (11 Nov) memberi 'peringatan mesra' kepada penggiat seni yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19 supaya segera berbuat demikian dan seterusnya kembali berkarya.

Beliau berkata ini adalah ikhtiar bagi melindungi diri mereka daripada jangkitan virus berbahaya itu kerana suntikan vaksin dapat mengurangkan kebolehjangkitan kepada orang lain.

"Kita kena hidup dengan COVID-19 dan jangan (sampai) COVID-19 menghalang kita daripada membuat penggambaran, kita tak boleh buat pertunjukan pentas, menyanyi dan sebagainya.

"Kita kembali ke kehidupan yang biasa sebab ikhtiar sudah buat. Kerajaan sudah buat tapi kalau kita sendiri tak hendak ambil (vaksin COVID-19) maka kita akan menanggung risiko," katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Program Keluarga Malaysia Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Kuala Lumpur kelmarin.

Di majlis itu, Encik Annuar menyampaikan sumbangan kepada 45 artis veteran.

Turut hadir Pengerusi FINAS Zakaria Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Profesor, Dr Md Nasir Ibrahim, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Mastura Ahmad Mustafa.

- BERNAMA/FZ/fz

Top